Sasaran pelan rasionalisasi 1MDB tercapai, kata Arul Kanda
Presiden dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB, Arul Kanda berkata syarikat pelaburan milik negara itu berjaya mencapai sasaran pelan rasionalisasi dalam tempoh masa yang dicadangkan.
"Kami mencapai apa yang disasarkan dari segi pelan rasionalisasi," katanya pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Ini adalah dalam rangka waktu yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya masalah kewangan 1MDB diselesaikan, katanya.
Mengenai hasil jualan berkenaan, Arul Kanda bagaimanapun enggan mengulas sama ada ia akan dikekalkan sebagai milik 1MDB atau sebaliknya disalurkan kepada Kementerian Kewangan (MoF).
Beliau sebaliknya menjelaskan, sejajar pelan rasionalisasi membabitkan Bandar Malaysia, ada pertimbangan untuk memindahkan pemilikan baki pegangan 40 peratus aset itu kepada MoF.
"Tiada sebarang keputusan muktamad mengenainya pada masa ini. Bagaimanapun, ia adalah satu pilihan yang disenaraikan dalam pelan rasionalisasi berkenaan," katanya.
Arul Kanda menjelaskan terdapat tiga langkah-langkah dalam pelan rasionalisasi itu dengan tindakan terakhir adalah penjualan 60 peratus kepentingan dalam projek Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation Sdn Bhd ( CREC).
Langkah pertama adalah perjanjian penyelesaian hutang 1MDB dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) di mana Arul Kanda sebelum ini berkata akan melihat pengurangan hutang syarikat sehingga RM16 bilion.
Langkah kedua ialah penjualan Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN), jelasnya.
Beliau berkata penjualan Edra itu akan mengurangkan hutang 1MDB sebanyak antara RM16 juta dan RM18 juta.
Setakat 31 Mac, 2014, hutang 1MDB adalah sebanyak RM42 bilion mengikut akaun kewangannya yang diaudit.

