Global I Syarikat dalam talian, Amazon berjanji untuk menderma sebahagian keuntungan daripada jualan sebuah lagu oleh kumpulan anti-Islam Jerman, Pegida untuk membantu pelarian perang yang melarikan diri ke Eropah.

Pelanggan yang merancang untuk membeli single terbaru lagu itu pada Khamis diberitahu oleh Amazon Jerman bahawa keuntungan hasil jualan akan diberikan kepada NGO yang menangani krisis pelarian paling teruk sejak perang dunia kedua, lapor Al Jazeera.

Canselor Jerman, Angela Merkel sebelum ini mengalu-alukan beratus ribu pelarian terutamanya dari Syria- yang mana merupakan tindak balas berbeza daripada kumpulan sayap kanan seperti Pegida yang sering membantah dasar-dasar kerajaan yang dikatakan menggalakkan imigrasi.

Lagu tersebut bertajuk "Together we are strong" kini berada di tangga teratas carta Amazon Jerman yang mana ia turut menyebabkan lagu daripada penyanyi British, Adele- Hello berada di tempat kedua.

Lebih daripada 370 ulasan ditulis untuk lagu tersebut dengan sebahagian besar daripada mereka memberikan satu bintang- yang mana ia merupakan penilaian paling rendah diberikan.

Ramai daripada mereka meninggalkan komen yang sakarstik atau menyatakan rasa malu mereka.

Kebanyakan ulasan yang memberi lima bintang juga mengkritik lagu tersebut tetapi berterima kasih kepada Amazon kerana menderma sebahagian daripada pendapatan penjualan lagu itu kepada pihak yang tangani krisis pelarian.

Pegida merupakan singkatan kepada bahasa Jerman- Patriotic Europeans Against the Islamisation of the West - merupakan sebuah gerakan haluan kanan di Jerman dan negara-negara Eropah lain yang menentang kemasukan pendatang Islam dan pelarian ke benua itu.

Organisasi itu bagaimanapun tidak menerima belas ehsan daripada pengkritik dan ia juga telah dikutuk oleh Canselor Merkel.