Remaja perempuan berusia 14 tahun yang disyaki diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Klang Utara, Ahad lepas ditemui selamat di hadapan sebuah stesen minyak di Banting, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata remaja itu ditemui di dalam sebuah kereta bersama seorang lelaki yang dipercayai teman lelakinya kira-kira pukul 8 malam.

"Remaja itu ditemui bersama seorang lelaki berusia 20 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di dalam sebuah kereta di hadapan stesen minyak di Kanchong Darat, Banting.

Soal siasat ke atas remaja itu menunjukkan mangsa sengaja mereka cerita kononnya dia telah diculik dengan tujuan untuk hidup bebas daripada keluarga," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Remaja itu sebelum ini dikatakan tidak pulang ke rumah sejak pukul 2.30 petang Ahad, selepas memaklumkan kepada ibunya dia keluar untuk berjumpa rakan.
Susulan itu, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya kira-kira pada pukul 8.20 malam, Isnin lepas.

Satu rakaman perbualan telefon remaja itu selama tiga minit 43 saat turut dimuat naik di laman sosial dipercayai dilakukan anggota keluarganya sebagai langkah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

Menerusi rakaman itu, remaja perempuan berkenaan menangis dan merayu supaya anggota keluarganya segera menyelamatkannya dan menyatakan ramai lagi individu lain turut ditahan di dalam sebuah gudang serta mendakwa penculik akan menjual mereka.
Menurut remaja itu lagi, beberapa lelaki dari sebuah van putih telah menculiknya ketika dalam perjalanan pulang dan papan tanda terakhir yang dilihatnya sebelum ditutup mulut menggunakan kain adalah Johor Bharu.

-Bernama