GLOBAL Penduduk China boleh senang hati apabila dasar satu anak untuk setiap pasangan yang dikuat kuasa sejak tahun 1978 berakhir semalam, tetapi tidak bagi seorang wanita yang bernama Sun Mingmei.

Sun sering memasang harapan untuk memiliki anak kedua.

Dan impian itu menjadi kenyataan sebaik dia mendapati dirinya mengandung Ogos lalu.

Namun, kegembiraan itu hanya sementara apabila dia terpaksa mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kehamilan.

Mengikut undang-undang ketat dasar perancangan keluarga, setiap pasangan yang ingin memiliki anak kedua, dikehendaki membayar denda lebih 200,000 yuan (RM132,156).

Sun mempunyai seorang anak perempuan.

Ini bermakna dia perlu membayar jumlah yang terlalu banyak sekiranya dia mahu memiliki seorang anak lagi.

Dia justeru menggugurkan anak yang dikandungnya walaupun sudah dua bulan.

“Saya tidak tahu sama ada jantina anak adalah lelaki atau perempuan ketika itu, tetapi keputusan yang dibuat terlalu sukar,” katanya seperti dipetik laporan media antarabangsa.

Dua bulan kemudian, China mengumumkan untuk menamatkan dasar berkenaan, malahan menggalakkan ibu bapa untuk memiliki dua anak.

Menurut laporan media tempatan, setiap anak kedua yang dilahirkan pada atau selepas 1 Januari sah di sisi undang-undang.

“Saya menyesal menggugurkan kandungan itu sebaik mengetahui berita berkenaan, tetapi apakan daya, ia sudah terlambat,” katanya.