Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dilihat mampu meningkatkan lagi sokongan rakyat Sarawak kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri ke-11 nanti.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata pelaksanaan dasar baharu seperti penurunan kuasa untuk Sarawak, program-program pembangunan, serta keputusan menghapuskan tol di semua jambatan di negeri itu telah meningkatkan sokongan rakyat kepada Adenan dan Barisan Nasional (BN) khasnya.

"Saya menjangkakan undi popular BN akan meningkat kepada 55 peratus hingga 60 peratus pada pilihan raya negeri kali ini," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada pilihan raya negeri yang lepas, BN Sarawak yang diwakili empat parti komponen utama ketika itu iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menang 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang termasuk seorang calon Bebas mendapat 16 kerusi DUN.

Dr Jeniri yang juga pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata berdasarkan kajian yang dilakukannya, Adenan kini mencapai tahap popular hampir 84 peratus dalam kalangan rakyat Sarawak pada Oktober lepas berbanding 74 peratus pada April tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata isu-isu nasional seperti kenaikan kos sara hidup, cukai barang dan perkhidmatan dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pastinya tetap menjadi isu pada pilihan raya negeri nanti dan BN perlu bijak menangani segera.

Namun beliau berpendapat, isu-isu itu hanya memberi kesan kepada pengundi muda yang banyak terdedah dengan maklumat tidak tepat dalam media sosial.

"BN harus bersedia untuk menangkis isu-isu itu melalui media tradisional seperti radio dan televisyen ataupun melalui media maya khasnya melalui aplikasi WhatsApp," katanya.

Dr Jeniri turut meramalkan pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan pada cuti persekolahan Mac depan sebelum mandat penuh DUN Sarawak berakhir pada Jun tahun ini.

Mengenai calon, Dr Jeniri yakin tiada "tangan ghaib" yang boleh mempengaruhi Ketua Menteri Sarawak itu dalam menentukan calon BN di 82 kerusi DUN nanti.

Beliau berkata selaku Pengerusi BN negeri, Adenan dilihat seorang yang konsisten dalam setiap keputusannya dan tidak mudah dipengaruhi mana-mana pihak.

"Pemilihan calon (yang akan diputuskan Adenan nanti) adalah atas dasar keyakinan kepada kebolehan calon selain mendapat sokongan parti, rakyat serta bakal calon pelapis untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun lagi," katanya.

Beliau berpendapat menerusi pertambahan 11 kerusi DUN yang baharu, BN dijangka menampilkan sekurang-kurangnya 21 muka baharu dengan mengugurkan beberapa penyandang atas beberapa faktor seperti prestasi dan kesihatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS