Satu jawapan bertulis di parlimen November lalu menjelaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin telah menggunakan perisian pengintipan, kata Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low menyatakan bahawa badan anti-rasuah itu mendapat perkhidmatan dari syarikat Kementerian Kewangan, Miliserv Technologies.

Blogger Keith Rozario sebelum ini mendakwa kerajaan membeli perinsian berkenaan dari firma Itali, The Hacking Team melalui Miliserv.

Dalam jawapan bertulis itu, Low berkata SPRM memerlukan teknologi baru untuk menjalankan tugasnya dan "mendapat peralatan teknikal dan operasi yang terkini dan bersesuaian dari mana-mana syarikat pembekal termasuklah Miliserv Technologies".

Walaupun Low tidak menyatakan bahawa perisian itu diperoleh dari Miliserv, Sim berkata jawapan menteri itu adalah bukti dakwaan Rozario, dan bercanggah dengan jawapan Menteri, Datuk Seri Azalina Othman sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebelum ini menafikan bahawa Pejabat Perdana Menteri (PMO) menggunakan perisian berkenaan.

"Dengan lebih banyak bukti-bukti yang keluar untuk mengesahkan dakwaan Rozario, adalah penting bagi PMO menjawab secara serius sama ada ia telah membeli spyware dari Hacking Team.

"Jika ya, adakah PMO mempunyai autoriti atau kuasa (di bawah undang-undang) untuk menggunakan spyware?" Sim bertanya.

Katanya, Azalina juga perlu menjawab dakwaan bahawa Miliserv telah memainkan peranan pada pilihan raya umum ke-13.

"Adakah ia sebuah syarikat swasta yang terlibat dalam mengintip rakyat Malaysia dalam PRU-13? Jika benar, adakah ia satu ancaman kepada parlimen demokrasi? Adakah pihak berkuasa telah membuat siasatan? Soalnya.