Kesilapan cetakan pada buku teks Sejarah Tahun Enam menyebabkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengalami kerugian lebih RM3 juta .

Buku teks berkenaan didapati salah memaparkan kedudukan Melaka di Peta Malaysia dan ia menyebabkan 70 peratus daripada buku itu terpaksa ditarik semula daripada edaran di sekolah-sekolah.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr awang Sariyan berkata pihaknya sudah menubuhkan jawatankuasa bagi mengenalpasti punca kesilapan berkenaan.

"Penubuhan itu bagi mencari punca kesilapan itu berlaku kerana jika dirujuk pada naskah contoh yang dicetak lebih awal, kedudukan Melaka pada buku sejarah berkenaan adalah tepat.

"Keraguan juga timbul kerana kesilapan cetakan berlaku pada buku teks untuk Sekolah Kebangsaan (SK) saja, tidak pada naskah bagi sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) sedangkan kandungannya langsung tidak bercanggah.

"Kami mengambil serius kesilapan ini kerana DBP terpaksa menarik semula 70 peratus buku teks yang sudah diedarkan di sekolah untuk dilupuskan dan mengupah lima syarikat pencetak bagi cetakan semula dengan kos tinggi," katanya.

Laporan tersebut disiarkan dalam ruangan Sastera Berita Harian , hari ini.

Tambahnya, walaupun buku teks Sejarah Tahun Enam bagi SJK tidak mempunyai kesilapan pada peta Melaka, ia turut dicetak semula bagi tujuan pengemaskinian.

DBP turut memberi jaminan buku cetakan semula bagi teks itu dijangka diedarkan ke sekolah selewat-lewatnya pada 31 Januari 2016.

Manakala bagi pasaran terbuka pula, ia dijangka boleh didapati di kedai buku khususnya koperasi DBP bermula 15 Januari bagi SK dan 20 Januari bagi SJK.

"Mengikut jangkaan, proses cetakan selesai pada 6 Januari dan edaran akan dilakukan secara menyeluruh dengan kemungkinan sekolah di bandar akan menerima buku teks lebih awal, iaitu pada minggu kedua Januari," katanya.