Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin cabar Chegubard lapor SPRM, jangan 'menyalak'

Datuk Seri Azmin Ali meminta supaya aktivis Badrul Hisham Shaharin mengemukakan bukti jika benar memiliki surat tender rundingan terus dalam projek pembalakan negeri.

Menteri besar Selangor itu juga menggesa Badrul atau dikenali sebagai Chegubard tidak "menyalak" kepada pihak media tetapi membawa surat tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kalau ada bukti, buat apa menyalak setiap hari. Tak payah bersekongkol. kalau benar ada bukti, pergi kepada SPRM.

"Dia kata dia ada (surat), tak payahlah nak cabar saya. Serahkan pada pihak berkuasa, tak payah menyalak," kata Azmin.

Azmin berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Bas Percuma Selangor Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), hari ini.

Semalam Badrul mendakwa kerajaan Selangor berbohong mengenai tender pembalakan di dua bidang tanah melibatkan projek jajaran talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Chubadak dan Mahkota Cheras di Kuala Lumpur.

Beliau juga mendakwa mempunyai surat berstatus rahsia yang membuktikan dua syarikat dianugerahkan kontrak membalak secara rundingan terus dan bukan tender terbuka.

Badrul mencabar Azmin mengklasifikasikan semula dokumen itu sebagai dokumen awam bagi membolehkan isi kandungannya didedah.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR hari ini bagaimanapun berkata, beliau tidak akan melayan permintaan tersebut.

Tidak keluar lesen balak

Malah ADUN Bukit Antarabangsa itu sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak terlibat mengeluarkan sebarang lesen bagi aktiviti pembalakan.

Jelasnya, sekiranya terdapat akviti pembalakan di Selangor, ia diluluskan oleh Jabatan Perhutanan negeri bagi tujuan kepentingan awam.

"Saya nak tegaskan kerajaan negeri tak ada mengeluarkan sebarang lesen aktiviti pembalakan. Tidak ada aktiviti pembalakan berlaku dalam Selangor.

"Sekiranya ada, keperluan itu hanya melibatkan kepentingan awam dan tak ada kelulusan diberi kepada pembalakan.

"Segala permohonan tertentu akan dipertimbangkan oleh Jabatan Perhutanan dan hanya kepentingan awam akan dipertimbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor," katanya.

Azmin juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah terlibat dalam mana-mana jawatankuasa yang memberi kuasa agar pembalakan dilakukan di negeri berkenaan.

“Saya tak pernah terlibat dalam jawatankuasa perhutanan kerana ia bidang kuasa jabatan perhutanan jadi ada proses yang perlu dipatuhi.

"Itu fakta yang saya tahu. Saya tak tahu tentang fitnah dan tohmahan," katanya lagi.

AMANAH wajar dapat tempat

Selain itu, Azmin juga berkata, mana-mana parti politik yang terlibat dalam gabungan pembangkang wajar mendapat tempat dalam majlis tempatan.

"Pada saya mana-mana parti yang terikat dengan gabungan patut menjadi salah satu daripada kumpulan itu.

"Prinsip kita jelas, kita terima proses demokrasi dalam parti politik dan hormati pandangan semua pihak untuk kebaikan negeri Selangor," katanya lagi.

Selangor mempunyai 288 ahli majlis - 120 kerusi diperuntukkan kepada PKR manakala DAP dan PAS masing-masing mendapat 98 dan 70 kerusi.

Sebelum ini, Pemuda AMANAH Selangor tampil menuntut tempat dalam pembahagian kerusi pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu.

AMANAH mempunyai dua kerusi DUN Di Selangor . Mereka adalah Saari Sungib yang mewakili Hulu Kelang dan Hasnul Baharuddin yang mewakili Morib.

Bagaimanapun semalam, dalam laporan media, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata parti Islam itu tidak akan memberi laluan kepada AMANAH untuk mendapatkan kuota ahli majlis PBT dalam kerajaan negeri.

Ia kerana, dikhuatiri kemarahan akan timbul di kalangan ahli PAS di peringkat akar umbi sekiranya laluan diberikan.

Lihat Komen
ADS