Sebanyak 10 NGO tempatan menyatakan sokongan agar bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan 2016.

Diketuai aktivis gerakan reformasi 1998, Pengerusi Otai Reformasi Saari Sungib berkata mereka dimaklumkan mengenai pencalonan Anwar oleh pihak yang tidak didedahkan.

Sokongan mereka, katanya, sebahagiannya berdasarkan pengiktirafan kumpulan hak asasi Amnesty International terhadap Anwar sebagai "banduan nurani" yang mesti dibebaskan.

"Beliau (Anwar) telah dua kali diiktiraf sebagai banduan nurani oleh Amnesty International dan Amnesty juga dua kali dianugerahkan Hadiah Nobel," katanya dalam sidang media di Petaling Jaya.

Sebagai sebahagian daripada kempen berterusan mereka untuk membebaskan Anwar yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana tuduhan liwat, Saari mengumumkan perhimpunan bertemakan 'Bebaskan Anwar, Selamatkan Negara' akan diadakan di Dataran Merdeka pada 3 April.

Saari berkata pada 2 April akan diadakan konvensyen Reformasi dengan melibatkan peserta dari beberapa negara seperti Indonesia, Timor Leste, Filipina dan Tunisia.

Sementara itu Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (gambar) pula berkata kumpulan Otai Reformasi sebelum ini membangkitkan keperluan untuk menghormati sumbangan Anwar dengan cara lebih bermakna.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Naib Presiden PKR, Tian Chua dan wakil-wakil NGO lain.

Tian berkata, setiap pencalonan akan dinilai oleh Jawatankuasa Nobel berdasarkan merit mereka sendiri.

Jumlah pencalonan yang diterima tidak akan memberi kesan kepada keputusan yang akan diputuskan pada bulan Oktober, dan selepas itu anugerah tersebut akan diberikan dalam satu majlis pada bulan November.

Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya dipenjarakan atas tuduhan liwat dan salahguna kuasa.

Keputusan itu bagaimanapun dibatalkan pada tahun 2004 yang menyaksikan pembebasan Anwar dari penjara.