PAS tak hukum pemimpin Umno
PAS berkata, parti itu tidak pernah menghukum pemimpin Umno sama ada yang terdahulu mahupun pemimpin sekarang, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan berkata, isu menghukum Umno tidak sepatutnya berbangkit kerana apa yang perlu adalah kerjasama yang membawa kebaikan kepada rakyat.
Kata bekas Ketua Pemuda PAS itu, kerjasama antara kedua parti berkenaan perlu berlandaskan Islam bukan perkauman.
“Masalahnya, bukan nak hukum sesiapa. Soal hukum (Umno) itu tidak berbangkit, (sebaliknya) kerjasama itu mesti dibina atas dasar yang yang betul, kebaikan dan kebajikan rakyat.
“Bukannya atas dasar perkauman, permusuhan dan perkara-perkara yang boleh mencetuskan dosa (kerana) setiap seruan kerjasama itu mesti hanya untuk Islam,” katanya dilaporkan Sinar Harian .
Nasrudin berkata demikian mengulas kenyataan Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Yahya bahawa tidak adil mana-mana pihak menghukum pentadbiran Najib kerana 'dosa' pemimpin terdahulu menggagalkan kerjasama PAS - Umno.
Fathul berkata, sekalipun tidak bersetuju dengan kerjasama itu, pemimpin PAS tidak wajar menghalang usaha ke arah kebaikan itu demi kepentingan umat Islam di negara ini.
Nasrudin berkata lagi, sekiranya kerjasama itu demi kepentingan politik dan kebendaan ia hanya akan membawa umat Islam kepada pergaduhan antara satu sama lain.
“Tak mungkin boleh bersatu atas faktor kebendaan, politik atau perkara lain (kerana) manusia akan bercakaran dan saling mendahulukan kepentingan masing-masing,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

