Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (C) Chabau di Melaka yang sebelum ini hanya mempunyai tujuh pelajar, kini sudah berpindah ke bangunan barunya dengan jumlah pelajarnya meningkat kepada 330 orang.

Menurut laporan Nanyang Siang Pau di muka A16 (Nasional) bangunan baru itu dibina dengan kos RM4.3 termasuk kemudahan infrastrukturnya di tapak seluas 3.9 ekar.

Pada asalnya, ia merupakan tapak untuk pembinaan 52 rumah teres, tetapi telah didermakan kepada sekolah berkenaan oleh seorang ahli perniagaan.

Sekolah berkenaan kini mempunyai tujuh kelas yang boleh memuatkan 330 pelajar, termasuk tiga pelajar Melayu dan seorang pelajar keturunan Sikh.

Bilangan pelajar baru di SJK (C) Chabau meningkat daripada tujuh kepada 330 orang.

Menurut laporan akhbar itu lagi, SJK (C) Chabau kini mempunyai seramai 102 orang pelajar tahun satu.

Sebelum ini, sekolah tersebut hanya mempunyai kurang daripada 10 orang pelajar di tapak bangunan lamanya di Jasin.

Presiden Jawatankuasa Pembangunan SJK (C) Chabau, Datuk Wira Por Yun Tian berkata, kejayaan perpindahan SJK (C) adalah atas jasa MCA, Dewan Perhimpunan Cina Melaka, dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melaka.

Selain itu, katanya, pelbagai pihak telah menyumbangkan wang dan tenaga serta memberikan kerjasama yang sepenuhnya untuk menjayakan projek perpindahan sekolah tersebut.

Kaunseling untuk pelajar

Akhbar Sin Chew Daily pula menyiarkan di muka 6 (Dalam Negeri) bahawa Kementerian Pelajaran akan mengatur sesi kaunseling untuk mengetahui gangguan mental yang dihadapi pelajar di kawasan bencana tsunami.

Selepas itu, kementerian berkenaan, dengan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, akan mengaturkan sesi kauseling dan menghantar guru kaunseling yang mencukupi bagi membantu pelajar terbabit menghapuskan kenangan pahit itu daripada minda mereka.

Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein berkata kementeriannya tidak mahu bencana tsunami ini mengganggu pelajaran pelajar.

Menurutnya, ramai pelajar hidup dalam ketakutan kerana tidak dapat melupakan detik-detik tsunami melanda tempat tinggal mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat kawasan bencana di Kota Kuala Muda pagi semalam, Hishammuddin menegaskan perkara yang terpenting pada masa ini ialah untuk memperbaiki bangunan sekolah supaya pelajar dapat menghadiri kelas secepat mungkin.

Pelajar yang terbabit dalam bencana tsunami termasuk 498 pelajar sekolah menengah dan 1,044 murid sekolah rendah di Kedah, serta 123 pelajar sekolah menengah dan 421 murid sekolah rendah di Pulau Pinang.

MyKad baru percuma

Manakala di muka 8 (Dalam Negeri), Sin Chew Daily , Timbalan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho dipetik sebagai berkata, semua mangsa bencana tsunami yang kehilangan atau kerosakan MyKad atau sijil kelahiran boleh menukarkan dokumen tersebut di Jabatan Pendaftaran Negeri.

Katanya, mangsa terbabit juga boleh memperbaharui MyKad mereka secara percuma serta tidak perlu membawa bersama laporan polis.

Bagi mengelak pihak lain mengambil kesempatan daripada kelonggaran itu, Tan menegaskan Jabatan Pendaftaran akan mengeluarkan MyKad atau sijil kelahiran baru, berdasarkan 'bukti' yang diberikan oleh mangsa bencana.

"Keputusan untuk mengeluarkan MyKad baru kepada pemohon atau tidak, akan berdasarkan kepada alamat mereka.

"Sekiranya nama pemohon tersebut ada dalam senarai mangsa dan telah berdaftar dengan kerajaan negeri atau mempunyai maklumat mereka di Jabatan Kebajikan, kami akan membenarkan mereka memperbaharui dokumen berkenaan secara percuma," katanya.