Beribu-ribu tan bekalan makanan dan peralatan lain terkandas di lapangan terbang Medan kerana karenah birokrasi sehingga begitu sukar untuk mendapatkan kebenaran pihak berkuasa Indonesia untuk menghantarnya kepada mangsa tsunami di Aceh.

Bekalan bantuan untuk mangsa tsunami di Aceh kini tergendala di lapangan terbang Medan kerana karenah birokrasi, kata seorang sukarelawan yang berusaha untuk mendapatkan kelulusan bagi menghantar bekalan yang dibawanya.

Lukman Age, pelajar tahun tiga jurusan sains politik di Universiti Sains Malaysia (USM), ketika dihubungi melalui telefon semalam berkata, beliau sudah menunggu dua hari untuk mendapatkan kebenaran tersebut, kerana beberapa prosedur rasmi terpaksa dipenuhi terlebih dahulu, sebelum boleh menghantar bantuan tersebut.

"Saya membar lima juta rupiah (kira-kira US$540) untuk sewa sebuah lori. Seorang teman yang cuba membantu orang lain untuk membawa bekalan itu keluar dari lapangan terbang, dengan menggunakan tiga lori, telah dihalang oleh pegawai kerajaan, yang meminta supaya diserahkan banyak dokumen," katanya.

Lukman, yang berketurunan Aceh kini berada di Medan menunggu kebenaran untuk menghantar makanan, pakaian dan sejumlah wang yang dikutip di USM.

Beliau juga mendakwa sesetengah pihak di Medan mengambil kesempatan daripada keadaan tersebut untuk mengaut keuntungan.

"Tiket penerbangan dari Medan ke Aceh yang biasanya berharga kira-kira 360,000 rupiah (US$39), kini meningkatkan kepada 700,000 rupiah (US$76)," katanya.

Lukman juga mendakwa mi segera yang sepatutnya dihantar kepada mangsa-mangsa tsunami yang kelaparan, telah dijual dengan harga 500 rupiah (US$5.4) sebungkus.

Di samping itu, katanya, terdapat juga banyak pertubuhan-pertubuhan yang mengutip sumbangan untuk mangsa tsunami.

"Kita tidak tahu apakah mereka ini benar atau tidak...saya rasa sesetengahnya adalah kanak-kanak peminta sedekah di Medah," katanya.

Tiada rangkaian pengedaran

Presiden Pasukan Palang Merah (RCI) Dr H Basuki Supartono pula berkata satu rangkaian pengedaran yang berkesan amat diperlukan segera bagi membolehkan semua bekalan bantuan sampai kepada mangsa terbabit.

"Kami memerlukan banyak lagi kenderaaan serta rangkaian pengedaran yang berkesan. Kita masih lagi melihat mayat bergelimpangan di jalan (Banda Aceh)," katanya.

Kemudahan perubatan juga diperlukan segera kerana empat daripada enam hospital di Aceh telah musnah dalam bencana tsunami pada 26 Disember lalu. Sumatera terletak paling hampir dengan pusat gerak gempa yang melanda 11 lagi negara di Asia dan Afrika.

Basuki berkata sebahagian besar kakitangan perubatan di Aceh terkorban dalam bencana tersebut yang sehingga ini telah mengorban 80,000 nyawa di Indonesia. Mangsa juga memerlukan segera bekalan air bersih.

Manakala Ketua Pegawai Operasi Mercy, Shareen Shariza Abdul Ghani pula berkata terdapat masalah logistikyang serius di Aceh kerana bencana tersebut telah memusnahkan hampir keseluruhan infrastruktur di wilayah tersebut.

"Kami membawa bersama bekalan perubatan ke Aceh, jadi kami tidak menghadapi masalah tersebut. Pasukan pertama kami membawa kira-kira 300kg bekalan ubat ketika mereka berlepas ke Medan dari Banda Aceh," katanya.

Katanya, Mercy telah menugaskan 20 orang doktor dalam tiga pasukan yang kini ditempatkan di hospital tentera.

"Mereka semua selamat kerana mereka tinggal dalam kawasan hospital. Saya tidak tahu mengenai kawasan lain kerana saya tiada di sana," katanya.

Ketua bahagian informasi di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, Budhi Rahahdjo ketika dihubungi, berkata terdapat masalah untuk mengagihkan bekalan bantuan ke kawasan bencana di Aceh.

"Ya, masalah kita adalah penghantaran. Tetapi jika anda mahu tahu lebih lanjut mengenai apa yang sebenarnya berlaku di sana, hubungikan rakan sejawatan anda (wartawan) yang berada di sana. Kami tidak tahu kerana kami tidak berada di sana," katanya ketika dihubungi semalam.

Bantuan perubatan

Ketua pasukan perubatan PAS ke Aceh, Dr Syed Azman Syed Ahmad pula menyifatkan keadaan di sana seperti kejadian hari kiamat.

"Orang ramai berlari tanpa haluan, mencari orang kesayangan mereka. Sesetengahnya bogel tetapi mereka tidak peduli," katanya ketika diwawancara sekembalinya ke tanahair Ahad lalu.

Pasukan itu terdiri daripada lima orang doktor yang berpengalaman memberi perkhidmatan perubatan di Afghanistan dan sewaktu kejadian gerak gempa di Iran. Mereka berada di Aceh sejak 28 Disember.

Syed Azman berkata beliau melihat beribu-ribu mayat di jalanraya dan kesan gegaran di dasar laut dapat dirasai sekurang-kurangnya enam kali sehari.

'Kami tidak pernah menyaksikan kemusnahan sedahsyat itu, walaupun di Afghanistan dan Iran. Kami semua begitu terperanjat. Kami tidak mampu menahan air mata ketika melihat kemusnahan yang sedemikian rupa," tambahnya.

Pasukan perubatan kedua yang terdiri daripada 11 orang doktor yang ditaja oleh PAS akan berlepas ke Aceh dua hari lagi.