Sirul belum terima pindaan pernyataan tuntutan
Setahun selepas sabitan bersalah kerana membunuh Altantuya Shaariibuu dan lima bulan selepas bapanya meminda pernyataan tuntutan, ia masih tidak pasti sama ada dokumen-dokumen mengenai saman sivil RM100 juta telah diterima Koperal Sirul Azhar Umar di Australia.
Ini kerana Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Australia masih belum memaklumkan kepada firma guaman Karpal Singh & Co atau peguam Ram Karpal sama ada mereka telah menyampaikan pindaan pernyataan tuntutan kepada Sirul.
Sirul ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood berhampiran Sydney.
Kenyataan pindaan tuntutan oleh Shaariibuu Setev difailkan berikutan sabitan terhadap Sirul dan bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri kerana membunuh Altantuya di sebuah kawasan hutan di Puncak Alam antara 10 malam dan 1 pagi 18 Julai dan 1 Julai 2006.
Kedua-duanya yang merupakan anggota elit Unit Tindakan Khas polis (UTK), didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari tahun lepas.
Selepas pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, Ram berkata selepas dokumen diserahkan kepada Kementerian Luar pada Ogos tahun lepas, ia diberikan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia pada awal September untuk diserah kepada Sirul.
"Kami telah menulis surat kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia bulan lepas untuk mengingatkan mereka tetapi tidak ada jawapan. Kita tidak tahu apa yang berlaku.
"Mahkamah hari ini juga berjanji untuk melakukan tugas mereka bagi mengetahui apa yang terjadi," katanya kepada Malaysiakini.
Ram berkata pengurusan kes akan datang ditetapkan pada 24 Februari.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia terletak di Canberra dan pejabat konsulat berada di Perth dan Melbourne.
Setev dan dua anak-anak Altantuya memfailkan saman RM100 juta pada tahun 2008 dengan menamakan Azilah, Sirul, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan.
Azilah dan Sirul didapati bersalah oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria.

