Lelaki miliki kad kredit terbanyak, pecah rekod dunia
Global I Seorang lelaki yang memiliki 1,497 kad kredit berjaya mencipta Rekod Dunia Guinness sebagai pemegang kad kredit paling banyak di dunia.
Walter Cavanagh berkata, beliau mula mengumpul kad kredit selepas dicabar rakannya pada tahun 1960.
Buku kad kreditnya kini mencapai berat 17 kilogram dan buku itu mampu mengisi 800 kad, lapor The Daily Mail.
Namun, Cavanagh yang berasal dari California, Amerika Syarikat, tidak membawa semua kad kredit itu bersamanya. Sebaliknya menyimpan kad kredit yang lain di dalam kotak penyimpanan yang lebih selamat.
Rekod Dunia Guinness menyebut Cavanagh sebagai 'Mr Plastic Fantastic' dan beliau memegang rekod itu sejak 1971.
'Hobi' Cavanagh bermula apabila dicabar rakannya apabila mereka bersetuju mempunyai kad kredit terbanyak dan siapa yang memenanginya akan mendapat hadiah makan malam percuma.
"Ketika itu saya baru selesai tugas sebagai anggota keselamatan dan menjelang akhir tahun itu saya sudah memiliki 143 kad.
“Rakan saya cuma dapat mengumpul 138 kad kredit. Rakan saya bekerja sebagai ahli farmasi,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Cavanagh memiliki jumlah kad kredit keseluruhan sekitar 1,1 juta pound sterling dan rekodnya bersih kerana menggunakan hanya satu kad yang dibayar penuh setiap bulan.
"Saya memiliki nilai catatan kredit yang hampir sempurna. Saya hanya menggunakan satu kad kredit dan saya membayarnya pada akhir bulan. Tapi anda harus melihat panjang laporan kad saya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Cavanagh mengatakan s eumur hidupnya cuma sekali permohonan kad kreditnya pada 1970 ditolak atas alasan memiliki 'terlalu banyak kredit.

