Selangor putus isu vape dalam masa terdekat
Keputusan mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape di Selangor akan diputuskan dalam masa terdekat, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali.
Azmin berkata Exco Kesihatan Selangor, Dr Daroyah Alwi akan mengadakan pertemuan dengan pihak yang terlibat termasuk Kementerian Kesihatan, golongan belia, pengusaha dan pembekal vape.
"Kita akan putuskan dalam masa terdekat pada bulan ini (Januari)," kata Azmin dalam sidang media selepas program lawatan kerja ke Bukit Lancong dan Kampung Seri Aman, Puchong.
Pada 21 Disember lalu, muzakarah khas Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan rokok elektronik termasuk vape sebagai haram kerana mendatangkan keburukan.
Fatwa yang sama turut dikeluarkan kerajaan Kedah dan Pulau Pinang diikuti kerajaan Johor dan Kelantan.
Mengulas lanjut, Azmin yang juga anggota parlimen Gombak berkata pihaknya perlu meneliti perkara tersebut kerana bimbang ia akan memberi kesan tidak baik kepada pengguna vape khususnya golongan muda.
"Kita tidak mahu vape ini beri kesan kepada belia khususnya dan menimbulkan masalah sosial pada masa akan datang.
"Bagaimanapun, keputusan muktamad akan hanya dibuat selepas mendengar dan mendapat maklumat daripada kementerian kesihatan khususnya," tegas Azmin.

