Kerajaan perlu mengkaji semula keputusan untuk membenarkan hanya satu syarikat untuk memonopoli bekalan dan produk IT yang dijual di MARA Digital, kata ahli parlimen PKR, Wong Chen.

"Mana-mana sistem monopoli tidak baik untuk pengguna. Seperti sistem monopoli seperti ini tidak akan bertahan," kata Wong pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

"Adalah hak kerajaan untuk memperjuangkan agenda bumiputera di Digital Mall tetapi adalah dinasihatkan supaya menguna-pakai kuasa pasaran supaya lebih berdaya saing," katanya.

"Jika anda mempunyai pengedar tunggal, maka anda mengecilkan pasaran dan tidak memberi harga yang terbaik."

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, pada Isnin lalu, mengumumkan pelantikan WGN Inovasi Frontiers untuk menyaring dan membekalkan produk yang bakal dijual di Digital Mall MARA.

Tindakan itu untuk memastikan ketulenan barangan tersebut sebelum dijual kepada pengguna.

"Saya tidak pasti jika tindakan menteri itu tepat tetapi beliau perlu memikirkan semula dasar itu," kata Wong, yang juga Anggota Parlimen Kelana Jaya.

"Bagaimana jika pemegang monopoli seperti (ahli perniagaan) Tan Sri Syed Mokhtar (Al Bukhari) memutuskan untuk mengaut keuntungan, mampuslah. Oleh itu, ada bahayanya," katanya.

Oleh itu, Wong mencadangkan kepada kerajaan untuk menambah dua lagi pembekal utama ke supaya mereka boleh bersaing dan menawarkan harga dan perkhidmatan terbaik untuk pengguna.

[Baca berita penuh]