Sehingga Disember 2015, semua sampel air terawat daripada tiga loji rawatan air (LRA) di Kuantan yang diuji menunjukkan ia mematuhi parameter logam berat bawah Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata analisis itu berdasarkan LRA Semambu, Bukit Sagu dan Bukit Goh yang diambil pihaknya dan dianalisis oleh Kimia Malaysia.

“Berdasarkan hasil pemantauan di atas, penduduk Kuantan tidak perlu khuatir mengenai kualiti air minuman yang dirawat di loji-loji berkenaan,” katanya.

“Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan sumber air mentah dari mana-mana sungai yang tercemar bagi mengelakkan kemudaratan kepada kesihatan mereka.”

Terdapat sepuluh buah LRA yang terlibat dalam pembekalan air di Kuantan termasuk Semambu, Bukit Sagu dan Bukit Goh yang terletak berhampiran kawasan perlombongan bauksit.

Kementerian Kesihatan akan meningkatkan kekerapan pemantauan parameter logam berat kepada setiap dua minggu manakala logam lain akan dilakukan setiap minggu.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata perlombongan bauksit di Kuantan wajar dihentikan jika menyebabkan sungai tercemar.

Subramaniam menasihatkan penduduk setempat tidak meminum air sungai yang dicemari bauksit sama ada secara terus atau dimasak kerana ia mengandungi logam berat yang boleh memudaratkan.

Ribuan ikan mati

Sebelum ini terdapat laporan menyebut individu yang terdedah debu bauksit dalam tempoh lama berisiko menghidap penyakit Alzheimer.

Sebelum ini terdapat laporan menggemparkan ribuan ikan belanak ditemui mati dan terapung di Sungai Tonggak, berhampiran Gebeng di Pahang, lokasi perlombongan bauksit yang menjadi kegusaran penduduk.

Jabatan Perikanan bagaimanapun berkata tidak “ada apa-apa yang luar biasa" dengan kejadian itu dan "Ujian awal menunjuk kematian ikan tidak ada kena mengena dengan kelodak dan lumpur.

Laporan terperinci mengenai kejadian itu dijangka siap dalam seminggu, kata Adnan.

Dalam kenyataan hari ini, Noor Hisham berkata pensampalen terhadap kualiti makanan dan ikan-ikan di kawasan terlibat dalam perlombongan bauksit juga mendapati ia mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Bagaimanapun beliau menasihatkan orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan daripada memakan ikan atau mana-mana hasil tangkapan dari sungai yang disahkan tercemar oleh Jabatan Alam Sekitar sebagai langkah pencegahan awal.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa prihatin terhadap kesihatan mereka dan sekiranya tidak sihat hendaklah segera berkunjung ke klinik-klinik yang terdekat bagi rawatan awal,” katanya dalam kenyataan diedarkan Bernama hari ini.