Aktivis PSM ditahan buat kali kedua
Anggota Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Khairul Nizam Abdul Ghani ditangkap buat kali kedua selepas ditahan di bawah Akta Hasutan minggu lalu.
Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan berkata polis dari Ibu Pejabat Polis Kota Bharu menahan Khairul di rumahnya jam 10 pagi tadi.
Telefon bimbit dan komputer riba Khairul juga dirampas oleh polis, katanya.
Polis belum menjelaskan mengapa Khairul yang juga lebih dikenali sebagai Aduka Teruna ditahan.
Mengecam tindakan itu, Sivarajan berkata Khairul bagaimanapun memberi kerjasama dengan siasatan polis setakat ini.
"Menahan seseorang untuk beberapa kali bagi kesalahan yang sama adalah menyalahi undang-undang,".
"Kami menggesa polis untuk melepaskan Khairul dengan segera dan bersikap profesional. Dakwa dia di mahkamah jika melanggar undang-undang," katanya.
Khairul ditahan minggu lalu kerana mengkritik penahanan aktivis PSM Khalid Ismath yang juga ditahan di bawah akta yang sama.
Selain itu Khairul turut ditahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia sebaik sahaja tiba untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.
Beliau, bagaimanapun, dibebaskan keesokan harinya selepas majistret menolak permohonan reman oleh pihak polis.

