Adalah adalah tidak adil bagi Majlis Peguam untuk mempertikaikan kebebasan badan kehakiman dan menuduh keputusan mahkamah bersifat berat sebelah hanya berdasarkan beberapa kes, kata Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Mohd Raus Syarif, hari ini.

Beliau berkata, keputusan mahkamah bukan hanya memihak kepada kerajaan tetapi juga pemimpin-pemimpin pembangkang juga.

"Kamu perlu meneliti semua kes yang kami adili [...] kes-kes di mana ia tidak memihak kepada kerajaan.

"Kes-kes ahli politik seperti Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Tian Chua dari PKR dan Tony Pua dari DAP.

“[...] semua mereka menang melawan kerajaan tetapi mereka tidak pernah menyebutnya, " kata Mohd Raus kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Tahunan Majlis Hakim-hakim Kali Ke-50 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, semua pihak perlu melihat statistik kes secara keseluruhan kerana tidak semua keputusan mahkamah memihak kepada kerajaan.

“Mahu tidak mahu, kami perlu membuat keputusan dan seperti yang dinyatakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, keputusan mahkamah bukan untuk menggembirakan semua pihak.

“Sudah tentu ada yang tidak gembira tetapi keputusan mesti dibuat,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam Malaysia Steven Thiru yang mengkritik badan kehakiman itu awal hari ini.

Dalam ucapannya pada majlis pelancaran Tahun Perundangan 2016, Thiru berkata penghakiman tertentu dalam kes-kes perlembagaan mencadangkan bahawa kepentingan kerajaan mengatasi hak rakyat.

[Baca berita penuh]