Profesor guna analogi kereta api India pertahan 1MDB
Pensyarah Universiti Teknologi Mara (Uitm), Prof Ismail Sualman mempertahankan penjualan penjualan saham Bandar Malaysia sebanyak 24 peratus kepada syarikat China Railway Engineering Corporation (CREC) yang didakwa sesetengah pihak sebagai menjual negara.
Menggunakan analogi berhubung pelaburan syarikat Malaysia di Vietnam dan pembinaan landasan kereta api di India, katanya tindakan itu dilihatnya sebagai transaksi dan proses dalam perniagaan dan bukanlah penjualan aset negara.
“Katakanlah syarikat YTL membuat perlaburan di negara lain contohnya Vietnam. Sudah tentu iaa terbabit dengan penjualan saham dan sebagainya.
“Adakah Vietnam dikira menjual aset negara dengan menerima pelaburan daripada syarikat di Malaysia?
“Begitu juga jika kita membuat projek landasan kereta api contohnya di India, apakah India telah menjual aset negaranya kepada kita? Sudah tentu tidak.
“Samalah juga dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan berhubung bandar Malaysia hari ini,” katanya kepada Umno Online .
Bagi menyelesaikan hutangnya yang sarat, 1MDB menjual 60 peratus kepentingan ekuiti dalam Bandar Malaysia kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan CREC.
Tindakan itu bagaiamanapun mencetuskan kemarahan dengan ada yang mendakwanya sebagai menjual aset negara.
Lebih Rendah
Antara lain, pengkritik mempersoalkan mengapa firma itu menjual tanah utama yang diperolehi pada harga yanng murah daripada kerajaan tetapi menjualnya pula kepada entiti asing.
Ini diburukkan lagi apabila notis CREC kepada Bursa Saham Hong Kong menunjukkan kadar yang dipersetujui adalah jauh lebih rendah daripada apa yang diumumkan oleh 1MDB.
Pengkritik juga menimbulkan kebimbangan bahawa jualan berkenaan akan meningkatkan peluang CREC untuk memenangi bidaan untuk membina projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi dari Bandar Malaysia ke Singapura.
Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menafikan bahawa projek Bandar Malaysia telah dijual kepada China.
"Jika kita lihat pemilikan baru, IWF menguasai 60 peratus daripada konsortium itu. Jika kita campurkan peratusan itu, kita akan dapati pemilikan akhirnya adalah 76 peratus oleh Malaysia manakala hanya 24 peratus oleh CREC.
"Daripada jumlah itu, 54 peratus adalah milik kerajaan pusat dan negeri (Johor). Selebihnya adalah dengan sektor swasta di negara ini. Ia adalah satu perkongsian menang-menang dengan majoritinya dimiliki oleh Malaysia," katanya.
Manipulasi Untuk Politik
Sementara itu, Ismail mendakwa bahawa perjanjian 1MDB telah dimanipulasi pihak tertentu untuk tujuan politik.
Beliau berkata isu itu diviralkan di media sosial oleh mereka yang mempunyai kepentingan politik untuk mewujudkan persepsi negatif.
“Kalau kita tengok di media sosial itulah kata mereka, namun hakikatnya sama sekali tidak benar.
“Bagi saya perjanjian itu tidak ada masalah kerana itu adalah transaksi dan proses dalam perniagaan dan bukanlah dilihat sebagai penjualan aset negara.,” katanya.
Pensyarah itu juga berkata bahawa di Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang, firma asing memiliki saham dan tanah.
“Mengapa mereka mahu mempertikaikan hubungan kerjasama 1MDB dengan syarikat China tetapi tidak pula mempertikaikan Wilayah Iskandar dan juga tindakan kerajaan Pulau Pinang yang juga mempunyai situasi urusan perniagaan yang sama dengan syarikat-syarikat luar negara dari negara yang sama,” soalnya.
Menurut Ismail, negara ini mempunyai undang-undang dan segala transaksi perniagaan juga mesti mengikut peraturan-peraturan tertentu.
“Saya yakin, bahawa pemimpin negara bukanlah terdiri di kalangan mereka yang senang-senang mahu menjual aset negara. Saya yakin, mereka ada penasihat undang-undang dan mereka faham bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat dan bermaruah,” katanya.
Oleh itu, beliau meminta orang ramai supaya menyelidik maklumat yang disampaikan di media sosial agar ia tidak menjadi salah faham dan menimbulkan persepsi yang salah terhadap usaha kerajaan.
“Kita perlu berhati-hati dengan maklumat di media sosial. Bukannya semua benar belaka,” katanya lagi.
Ismail berkata, maklumat berkenaan perlu disahkan secara rasional dan berdasarkan fakta, bukan berdasarkan andaian dan emosi.

