PM ingatkan penjawat awam 'berfikir di luar kotak'
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa kakitangan awam supaya "berfikir di luar kotak" untuk membantu meningkatkan produktiviti dalam kerajaan.
Menurut akhbar New Straits Times (NST) hari ini, Najib semasa perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya, menggesa penjawat awam untuk mengoptimumkan perbelanjaan mereka di tengah-tengah cabaran akibat kejatuhan harga minyak dunia.
"Mengoptimumkan perbelanjaan tidak bermaksud sebagai langkah 'austerity' (jimat cermat) potong sana potong sini, tetapi kita melihat bagaimana setiap ringgit yang akan dibelanjakan boleh mendatangkan hasil dan kesan yang paling besar.
"Selain itu, kita boleh tambah lagi usaha kita bukan bermaksud kerja keras sahaja, tetapi menggunakan minda kita berfikir secara kreatif dan inovatif untuk meningkatkan produktiviti. Saya selalu tekankan 'give me solution' (beri saya penyelesaian)," katanya.
Pada majlis itu, perdana menteri turut mengumumkan bahawa beliau akan mengetuai satu kumpulan kecil untuk memantau pengoptimum projek-projek kerajaan dan projek-projek yang tertangguh.
Objektifnya adalah untuk mengoptimumkan perbelanjaan projek-projek berkenaan.
"Saya bercadang menubuhkan sebuah kumpulan kecil termasuk saya, timbalan perdana menteri, ketua setiausaha dan beberapa menteri untuk melihat kelambatan projek-projek ini.
"Kami akan bertanya mengapa projek mereka lambat siap dan jika proses-proses tersebut susah, kami akan melihat proses itu," katanya.
Ini berikutan semakan semula Belanjawan 2016 yang diumumkan Sabtu lalu kerana negara berdepan dengan keadaan ekonomi yang lebih sukar pada 2016 akibat daripada situasi luaran yang di luar kawalan kerajaan.
"Saya juga telah meminta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk membentuk sekretariat untuk tujuan ini," katanya.

