Peguam-peguam yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik bersetuju bahawa kes saman fitnah berkenaan dirujuk kepada mediasi.

Najib juga dijadual untuk memfailkan afidavit jawapannya terhadap pembelaan Ling dan tuntutan balasnya.

Peguam Najib Mohd Hafarizam Harun berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk berbuat demikian bagi melihat kemungkinan sama ada ia boleh diselesaikan secara baik.

Beliau berkata, mahkamah menetapkan pada 18 Februari ini bagi mengetahui perkembangan proses mediasi itu yang akan ditentukan kemudian.

Katanya pihaknya akan memfailkan jawapan terhadap pernyataan pembelaan Ling, esok.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 27 Oktober tahun lalu, Najib berkata Ling yang juga adalah bekas Menteri Pengangkutan, mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan portal Malay Mail bertarikh 3 Oktober 2015.

Najib selaku plaintif, berkata defendan secara salah dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan fitnah itu pada satu majlis di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, di ibu negara.

Katanya, perkataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau (Najib) menyalahgunakan dana kerajaan ke dalam akaun peribadi untuk kepentingan peribadi, menyalahgunakan dana kerajaan milik syarikat pelaburan kerajaan, 1MDB serta mengkhianati kepercayaan rakyat.

Berikutan saman itu, Ling memfailkan pembelaan dan tuntutan balas mempersoalkan mengapa dirinya yang menjadi sasaran sedangkan ada ahli-ahli politik Umno lain yang juga mendesaknya meletak jawatan, tetapi tidak disaman oleh Najib.

[Baca berita penuh]