GLOBAL Polis Turki menemui sebuah kilang yang menghasilkan jaket pelampung palsu yang dijual kepada pelarian negara itu yang mahu ke Greek melalui jalan laut.

Pihak polis merampas sebanyak 1,263 jaket pelampung yang dibuat dari bahan tidak terapung di sebuah kilang haram di Izmir yang diusahakan dua pekerja warganegara Syria lapor The Guardian .

Dalam laporan itu menyebut, wartawan The Guardian dalam kunjungan ke Izmir berulang kali ditawarkan jaket pelampung palsu oleh penjual yang menjual secara terbuka di jalan besar berdekatan bilik gerakan polis.

Bagi meyakinkan pembeli, kedai terbabit menjual jaket tersebut dengan jenama “Yamaxa” iaitu hampir menyamai ejaan dari tulisan “Yamaha”.

Walaupun produk utama kedai berkenaan adalah pelampung namun mereka juga menjual kasut dan pakaian.

"Kami hanya menjual dua atau tiga pasang kasut sehari. Tapi kami boleh menjual antara 100 dan 300 jaket pelampung dan pada musim panas kadang-kadang berjaya menjual jaket sampai seribu,” kata pekedai itu kepada The Guardian .

Minggu lalu 30 orang pelarian ditemui terdampar di pantai Aegean di Turki, selepas mereka dikatakan cuba menyeberangi ke Pulau Lesbos, Greek kerana dipercayai menggunakan jaket tersebut.

Pihak polis sedang meningkatkan operasi terhadap mereka yang terlibat dalam perniagaan penyeludupan manusia bagaimanapun jumlah pelarian terus meningkat.

Sekitar 2,000 pelarian dilaporkan membuat perjalanan setiap hari dalam bulan ini.