Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bauksit haram: KJ akui k’jaaan ‘sedikit terlewat’

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini mengakui bahawa kerajaan "sedikit" terlewat dalam menangani isu perlombongan bauksit haram di Pahang.

Bagaimanapun katanya, walaupun lewat namun ia lebih baik daripada tiada tindakan langsung untuk tangani isu berkenaan.

"Mungkin sedikit kelemahan dari pihak kita terlalu lewat bertindak tapi lebih baik ada usaha sekarang daripada tak tangani langsung.

"Saya harap tindakan yang tidak putus daripada pihak kerajaan agar dapat selesaikan masalah ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Selain itu, beliau juga berharap agar tempoh siasatan terhadap pihak yang bertanggungjawab yang menyebabkan pencemaran di Kuantan, Pahang dilanjutkan.

Ketua Pemuda Umno itu juga meminta Suruhanjaya Pecegahan Rasuah (SPRM) menjalankan siasatan ke atas pihak yang benar-benar bertanggungjawab dan bukan terhadap pegawai berjawatan rendah sahaja.

"Kita minta dilanjutkan lagi tempoh tersebut sehingga dapat penyelesaian menyeluruh dalam isu ini.

"Ia melibatkan kemudaratan orang ramai bukan hanya dari segi kesihatan tapi pencemaran alam sekitar.

"Kita harap siasatan dibuat SPRM ini tak henti dikalangan pegawai rendah sahaja. Harap siasatan menyeluruh dan sampai ke pihak yang betul," katanya lagi.

Sebelum ini, SPRM mengumumkan bahawa wujud unsur-unsur rasuah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit di Pahang.

Suruhanjaya itu juga telah menahan tiga orang awam termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam pembayaran wang rasuah bagi melindungi perlombongan bauksit secara haram.

Perlombongan bauksit di Pahang meningkat pada 2014 untuk memenuhi permintaan China selepas Indonesia mengharamkan eksport bahan mentah itu kerana menggalakkan pengeluaran aluminium tempatan.

Walau bagaimanapun perlombongan secara tidak terkawal telah menyebabkan pencemaran alam sekitar yang serius di Kuantan.

Paling jelas kelihatan adalah sungai-sungai dan perairan pantai bertukar merah dan kehidupan marin tempatan terjejas.

Lihat Komen
ADS