Mahkamah tolak semakan kehakiman halang TPPA
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghalang kerajaan daripada menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu di kamar selepas mendengar hujahan pihak-pihak yang terlibat dalam permohonan berkenaan.
"Perjanjian itu belum ditandatangani lagi dan perkara itu tidak boleh diadili," katanya.
Hakim Hanipah juga menolak daripada memberikan kos.
Di sebalik keputusan yang mengejutkan hari ini, NGO-NGO berkenaan berikrar untuk mengadakan bantahan secara aman pada 23 Januari ini.
Peguam mereka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata beliau akan mendapatkan arahan lanjut mengenai tindakan seterusnya.
Pada 4 November tahun lalu, tiga wakil NGO berkenaan memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah penggantungan terhadap ketiga-tiga responden daripada meneruskan proses menandatangani TPPA hingga permohonan mereka diputuskan oleh mahkamah.
Mereka menamakan perdana menteri, kementerian perdagangan antarabangsa dan industri serta kerajaan Malaysia sebagai responden.
Semua mereka diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan.

