Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tak boleh halang bina rumah mahal, kita bukan komunis'

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kerajaan tidak boleh menghalang pemaju daripada membina rumah yang mahal.

Ini kerana, katanya, pemaju yang membina rumah yang mahal adalah kerana terdapat permintaan untuk rumah seumpama itu.

Bagaimanapun, beliau merayu, selain membina rumah mewah, pemaju perlu mengambil inisiatif supaya membuat perumahan dengan kos mampu milik dengan harga berpatutan.

"Kita tak boleh buat macam itu, nak halang mereka dari nak buat rumah. Ini bukan perdagangan komunis, ini negara demokrasi. Mereka (pemaju) berhak nak buat. Kita tak boleh halang sebab ini negara terbuka.

"Cuma kita boleh merayu bahawa ini (bina rumah) adalah agenda nasional. Yang jual mahal ini sebab mereka ada permintaan.

"Bila pemaju tidak melihat ada permintaan besar tentang rumah mampu milik, saya rasa mereka tak jalankan tanggungjawab korporat dengan baik," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan boleh memberi nasihat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar menghalang pemaju dari membina rumah kos tinggi.

Teguran Sultan Nazrin

Semalam, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menegur tindakan pemaju hartanah yang dilihat lebih berminat membina rumah mahal untuk mengaut keuntungan besar.

Baginda berkata, istilah rumah “mampu lihat” dan bukan "mampu milik” semakin disuarakan oleh rakyat berpendapatan rendah lebih-lebih lagi di kalangan orang Melayu dan bumiputera.

Sehubungan itu, mengulas titah baginda, anggota parlimen Kota Belud itu berharap agar pemaju tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

"Saya juga nak ingatkan pemaju, permintaan paling besar ialah mampu milik.

"Saya mohon pada pemaju jangan lihat keuntungan semata," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS