Hanan baru berusia 13 tahun. Remaja yang kini menjadi pelarian perang Syria itu terlepas peluang untuk menikmati zaman riangnya seperti orang lain.

Ketika remaja lain mungkin leka bermain dengan peranti terkini, Hanan pula tekun menyapu cat merah pada dinding hijau di depannya.

Dikelilingi orang yang senasib dengannya Hanan adalah sebahagian daripada penghuni kem pelarian di Akre, utara Iraq.

Hanan sibuk melukis dan mewarnakan bunga-bungaan mengikut bayangannya.

Untuk menjadi sebahagian daripada projek mengubah wajah bangunan penjara di Akre itu, Hanan perlu melupakan masa silam yang sebahagiannya diisi kenangan tentang perang.

"Saya mahu melukis dengan kawan-kawan," katanya kepada wartawan Al Jazeera , Mohammed Jamjoom.

Hanan adalah seorang daripada lebih 10 kanak-kanak Syria yang menyertai Pojek Kota Seni yang digerakkan hasil sumbangan dana daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan, Rise Foundation.

Seminggu sekali mereka berpeluang melupakan seketika mimpi ngeri di negara sendiri dan 'tenggelam' dalam dunia berwarna-warni dan fantasi.

Kem Akre adalah bekas kompleks penjara. Kanak-kanak yang menyertai Projek Kota Seni diberi peluang menjadikan dinding di sebalik palang besi di situ sebagai kanvas besar untuk diwarnakan.

Melukis melegakan

Kata Hanan, ketika di Syria dia memang gemar melukis namun perang memaksa dia dan keluarganya mengutamakan keselamatan diri berbanding minat.

Justeru mereka meninggalkan negara sendiri untuk mencari tempat lebih selamat.

Di bekas penjara itu, Hanan menceritakan, hidupnya terasa terhimpit namun kegiatan melukis bagaikan suatu kelegaan untuknya.

"Sebelum ini kami hanya berfikir tentang perang. Kami melukis tentang kereta kebal, darah, orang bersenjata, pembunuhan, pisau dan sebagainya," kata Hanan.

Memang pada awal projek itu, imej yang dilakar pada dinding bangunan penjara itu kebanyakannya menggambarkan suasana perang.

Sesiapa yang berpeluang melawat ke situ boleh melihat gambar diwarnakan remaja terbabit di awal projek berkenaan - penuh dengan kesedihan dan keraguan.

Salah satunya ialah gambar seorang budak duduk sendirian dengan kata-kata "Kami rindukan rumah" tertulis di sebelahnya.

Satu lagi lukisan ialah seekor merpati yang cuba terbang bebas melepasi jeriji besi sebuah penjara.

Penyelaras projek, Kawther Ahmad, berkata dia cuba membantu mengurangkan penderitaan pelarian dan trauma dialami melalui aktiviti melukis.

Kawther memang berhak dan memahami keadaan itu kerana dia sendiri adalah pelarian dari Syria.

"Lakaran terawal peserta projek ini dulu penuh dengan kesakitan dan kematian. Segalanya tentang perang - bom, sekolah ranap dan sebagainya.

"Lalu kami cuma menggalakkan kanak-kanak berfikir lebih positif, membayangkan keindahan, kegembiraan.

"Hanya selepas itu mereka mula lebih bersemangat," katanya.

Kini itu yang tergambar di bangunan bekas penjara itu. Imej terbaru disiapkan bersifat cerita dan optomis. Pada lakaran itu disertakan perkataan "Kasih sayang tetap menang".

- Al Jazeera