Penyelesaian pertikaian NUBE cabaran pertama Syed Shahir
Usaha menyelamatkan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) daripada bertambah parah akibat krisis kepimpinannya sekarang merupakan cabaran pertama yang menunggu Presiden baru Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud.
Usaha menyelamatkan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) daripada bertambah parah akibat krisis kepimpinannya sekarang merupakan cabaran pertama yang menunggu Presiden baru Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud.
"Resolusi tergempar untuk mengadakan pemilihan baru (NUBE) bagi menyelesaikan pertikaian yang sudah berlanjutan itu, sudah diluluskan dalam persidangan perwakilan MTUC baru-baru ini," katanya.
Syed Shahir terpilih sebagai presiden MUTC yang baru, selepas menewaskan penyandangnya, Zainal Rampak dengan majoriti 47 undi dan seterusnya menamatkan era kepimpinan Zainal selama 19 tahun dalam kongres itu, yang mempunyai lebih 200 kesatuan gabungan dengan hampir setengah juta ahli.
"Isu ini boleh diselesaikan. Semuanya memerlukan semangat berpasukan dan kini kita sudah mempunyai pasukan tersebut. Apa yang penting ialah bagi presiden dan setiausaha agung bekerjasama ke arah matlamat yang sama," katanya.
Pertikaian kepimpinan NUBE telah berlarutan sejak tahun 2001 dan sehingga ini, pelbagai laporan polis telah dibuat di samping tindakan mahkamah diambil oleh kedua belah pihak.
Bercakap kepada malaysiakini , Syed Shahir berkata, pekerja-pekerja muda perlu dilatih untuk mengambil alih tugas dan tanggungjawab memimpin dan memperjuangkan pergerakan buruh pada masa depan.
"Saya gembira kerana terdapat 11 muka baru yang terpilih dalam barisan kepimpinan kita kali ini...satu petanda yang baik untuk masa depan pergerakan buruh di negara ini.
Temui akar umbi
"Ini bermakna akan ada idea-idea baru daripada barisan kepimpinan kali ini yang akan dilaksanakan dengan lebih terbuka, telus dan bertanggungjawab," tambahnya.
Beliau berkata, kepimpinan baru MTUC juga akan lebih rapat dengan akar umbi "kerana merekalah yang memberi mandat untuk kami laksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Kami akan mengadakan pertemuan dengan para pekerja muda....yang berumur di bawah 40 tahun...untuk meninjau apa yang mereka fikirkan atau apa yang mereka tahu mengenai pergerakan kesatuan sekerja," katanya.
Sambil menegaskan beliau akan 'memperbetulkan semula' keadaan dalam kongres itu, Syed Shahir berkata: "Saya akan membawa kesemua kesatuan gabungan MTUC untuk bekerjasama dan mengadakan lebih banyak dialog tiga pihak."
Mengenai kemenangannya kali ini selepas empat percubaannya sebelum ini gagal, beliau mengakui kemenangannya datang bersama tanggungjawab yang besar untuk menunaikan ikrar yang telah dibuat.
"Menang pertandingan satu perkara, tetapi untuk menunaikan janji-janji yang telah dibuat, adalah satu tugas yang sukar kerana saya sedar kesatuan gabungan telah meletakkan harapan yang begitu tinggi, dan ini bukan sesuatu yang mudah (untuk disempurnakan).
"Terdapat angin perubahan dan saya rasa 450 perwakilan ke persidangan MTUC kali ini mahu perubahan dalam barisan kepimpinan kongres tersebut," tambahnya.
Bersikap terbuka, katanya, adalah merupakan satu perubahan penting dalam mengendalikan hal-ehwal mengenai perburuhan.
Faktor kemenangan
"Saya optimistik dapat bekerja rapat dengan pihak kerajaan dan sektor swasta. Tumpuannya ialah untuk menyatupadu dan menggerakkan kesatuan gabungan dalam pendekatan secara kolektif.
"Selepas terpilih, kami perlu meneruskan pelaksaaan 17 resolusi dengan mengadakan dialog dengan pihak-pihak terbabit serta perbincangan yang berterusan," katanya.
Mengenai kemenangannya itu, Syed Shahir tidak menolak kemungkinan ada perwakilan yang mengundinya kerana menolak regu Zainal-N Siva Subramaniam.
Penyandang jawatan Setiausaha Agung MTUC, G Rajasekaran mengekalkan jawatannya selepas menewaskan Siva dengan majoriti 95 undi.
"Saya dapat rasakan ada rasa kurang senang di kalangan ahli dan perwakilan yang saya temui. Itu mungkin menjadi satu faktor kemenangan kami.
"Dan ianya juga mungkin kerana usaha berterusan saya untuk mencabar Zainal sejak 10 tahun lalu untuk jawatan presiden," tambahnya.
Dalam pemilihan tahun 1994 Shahrir tewas kepada Zainal dengan majoriti tipis enam undi.
Jawatankuasa kerja dan Majlis Am MTUC akan mengadakan mesyuarat pertamanya dalam beberapa minggu akan datang.

