Kumpulan pendesak Melayu Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) hari ini menyambut sinis penegasan terbaru DAP bahawa mereka bukan parti anti-Melayu atau anti-Islam.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, kenyataan itu berjaya membuatkan beliau “terkejut” dan tidak boleh tidur malam.

“Kenyataan itu bukan baharu. DAP juga mengulanginya semasa persidangan Pakatan Harapan.

“Mereka juga berjanji mempertahankan Islam, Bahasa Malaysia, kedaulatan raja-raja Melayu dan keistimewaan Melayu.

"Kenyataan mereka itu menyebabkan saya terkejut, saya tak boleh tidur 50 jam," katanya pada sidang media di ibu pejabat PERKASA hari ini.

Ibrahim sebaliknya mendakwa parti itu sering kali dilihat mempertikai perkara berkaitan orang Melayu dan agama Islam.

Beliau berkata, dalam aspek ekonomi, DAP mempersoalkan berhubung dasar ekonomi baru untuk menyusun semula masyarakat Melayu.

Ibrahim turut membangkitkan komposisi kaum dalam barisan kepimpinan parti itu.

"Mereka menyatakan bukan parti perkauman, (tetapi) semua jawatan penting dalam DAP adalah Cina," katanya.