Kanak-kanak kader IS: Luar bidang kuasa, kata IGP
Lapan kanak-kanak Malaysia yang dilatih menjadi pejuang kumpulan bersenjata Negara Islam (IS) di Syria dan Iraq tidak akan dibawa pulang ke Malaysia, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Keputusan itu diambil, kata Khalid, kerana ia berada di luar bidang kuasa polis.
Malah, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh berbuat apa-apa memandangkan ideologi dan kepercayaan kanak-kanak tersebut kini berbeza.
“Polis sentiasa berusaha untuk sebaik mungkin, terutamanya terhadap mereka yang sudah sampai di Iraq, Syria.
"Usaha pihak kita sentiasa dijalankan untuk mempengaruhi mereka untuk meninggalkan apa juga kepercayaan dan ikutan mereka di sana.
“Tapi (untuk bawa pulang) itu adalah luar bidang kuasa kami untuk pergi ke sana dan bawa mereka balik. Ini masalah ideologi dan masalah kepercayaan," katanya.
Khalid bercakap kepada media selepas program penyerahan dan pengambilan tugas Pengarah Eksekutif dan Pengarah Sekretariat Aseanpol di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan terdapat lapan orang kanak-kanak Malaysia sedang dilatih menjadi pejuang IS di Kem Latihan Syria dan Iraq.
Cegah kem latihan IS
Kata Khalid, jika kanak-kanak terbabit masih percaya perkara "yang tidak betul itu" (perjuangan IS), sukar untuk polis membawa mereka pulang.
"Justeru apa yang kita cuba buat adalah mencegah mana-mana pihak untuk pergi ke sana (Syria dan Iraq),” katanya.
Sementara itu, Khalid mengesahkan tidak ada sebarang kem latihan IS di negara ini namun pihaknya tetap giat memantau kemungkinan itu bagi mengelak ia berlaku.
“Memang mereka akan cuba buat kem latihan di mana juga tapi itu tanggungjawab PDRM untuk mengawal perkara ini dan ambil tindakan awal.
“Buat masa ini kita sahkan memang tidak ada kem latihan untuk kanak-kanak atau dewasa untuk kumpulan IS ini di Malaysia.
“Di Asia mungkin ada. Di selatan Filipina kita tahu mereka beri sokongan kepada IS.
"Jadi kemungkinan besar (untuk cubaan membuka kem itu di negara ini) tidak boleh kita ketepikan,” katanya.

