Azmi gagal pindah kes hasutan ke mahkamah tinggi
Perbicaraan kes hasutan terhadap Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya Profesor Azmi Sharom akan terus didengar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Hakim Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman hari ini menolak permohonan Azmi supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Peguam Gobind Singh Deo ketika membuat permohonan itu, memetik seksyen 417 Kanun Prosedur Jenayah di mana Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk memindahkan kes apabila perbicaraan yang adil tidak dapat dibuat di mahkamah rendah.
Bagaimanapun, Hakim Ab Karim memutuskan tidak ada keadaan luar biasa dan bukti bahawa Azmi akan tertakluk kepada perbicaraan yang tidak adil.
"Oleh itu, permohonan (untuk memindahkan) ditolak," putusnya.
Gobind menyatakan beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini tetapi Hakim Ab Karim enggan dan meminta Gobind untuk memohon kepada Mahkamah Sesyen.
Mahkamah Sesyen menetapkan esok untuk hari pertama pendengaran tetapi Gobind memberitahu pemberita bahawa beliau akan memfailkan notis rayuan esok.
Azmi didakwa dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2 September 2014 atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
Beliau didakwa membuat kenyataan itu dalam artikel bertajuk “ Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told” yang dilaporkan sebuah portal berita pada 14 Ogos 2014.

