Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mumbai perkenal sekatan lepas 'selfie maut'
Diterbitkan:  Jan 13, 2016 3:00 PM
Dikemaskini: 7:11 AM

GLOBAL Polis Mumbai telah mengenal pasti 16 kawasan yang dikategorikan sebagai "tempat bahaya untuk berselfie" di seluruh bandar di India itu.

Polis juga memperkenalkan "zon tidak boleh berselfie" selepas seorang lelaki lemas ketika cuba menyelamatkan seorang gadis yang jatuh ke dalam laut ketika cuba mengambil gambar dirinya.

Gadis dan dua rakannya terjatuh ke dalam Laut Arab berhampiran Bandra Bandstand di utara ibu kota India semasa mengambil gambar selfie pada Sabtu, lapor Al Jazeera .

Seorang lelaki berusia 37 tahun, Ramesh Walanju kemudian terjun ke dalam laut dan cuba membantu dua rakan gadis berkenaan tetapi telah dihanyutkan oleh laut yang ketika itu bergelora.

Mayat lelaki berkenaan kemudiannya dijumpai terapung di sungai berhampiran pada Isnin.

Gadis berusia 18 tahun itu masih lagi hilang.

Kawasan yang dikategorikan sebagai bahaya untuk "berselfie" oleh pihak polis itu termasuk tempat-tempat pelancongan utama seperti pantai Girgaum Chowpatty dan persiaran Marine Drive di kawasan gadis berkenaan tergelincir.

"Selepas kejadian malang itu, kami membuat keputusan untuk mengenal pasti 16 tempat yang merupakan kawasan bahaya untuk berselfie, dan kami boleh menambah lagi (kawasan).

"Kami telah menulis kepada majlis perbadanan untuk meletakkan beberapa tanda amaran di kawasan tertentu.

“Kami juga mahu mereka menggunakan beberapa orang penjaga pantai," kata Timbalan Pesuruhjaya Dhananjay Kulkarni kepada agensi berita AFP.

Tahun lalu, polis Rusia melancarkan kempen menggesa orang ramai mengambil gambar selfie dengan lebih selamat selepas kira-kira 100 orang cedera serta puluhan meninggal dunia dalam kemalangan ngeri selepas mengambil gambar dalam keadaan berisiko pada 2015.

Selain itu, 12 orang dilaporkan terbunuh dalam kemalangan yang dikaitkan dengan tindakan mengambil gambar selfie pada tahun lalu - kematian yang lebih banyak berbanding mangsa serangan ikan yu.

Malah, seorang pelancong dari Jepun yang berusia 66 tahun mati dan rakannya cedera selepas terjatuh dari tangga ketika cuba untuk mengambil gambar selfie di Taj Mahal tahun lalu.

Pada bulan Disember pula, seorang lelaki Pakistan mati di Rawalpindi selepas dilanggar kereta api yang bergerak laju kerana cuba mengambil gambar selfie dengan berdiri di atas landasan.

Mei tahun lalu pula, seorang wanita Rusia tertembak dirinya di kepala dengan sepucuk pistol ketika cuba bergaya untuk mengambil gambar selfie dengan senjata berkenaan.

Malah, penyiasat Amerika Syarikat pada Februari tahun lalu memberitahu, seorang juruterbang berulang kali mengambil gambar selfie sehingga menyebabkan pesawatnya terhempas dan membunuh dua orang dalam pesawat berkenaan.

Lihat Komen
ADS