Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permohonan semakan kehakiman pemilik Vivekananda Ashram 12 Feb
Diterbitkan:  Jan 13, 2016 3:30 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan syarikat Vivekananda Ashram Kuala Lumpur bagi membatalkan keputusan Jabatan Warisan Negara untuk mewartakan kawasan bangunan Vivekananda Ashrama, di Brickfields, yang berusia 110 tahun sebagai tapak warisan, akan didengar 12 Februari ini.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob kepada pemberita selepas kes disebut di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hanipah Farikullah hari ini dengan dihadiri peguam Datuk David Gurupatham, yang mewakili syarikat itu selaku pemohon.

Mazlifah bertindak bagi pihak Jabatan Warisan Negara, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara Dr Zainah Ibrahim, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia sebagai responden.

Pada 13 Oktober tahun lepas, syarikat Vivekananda yang juga pemilik hartanah berkenaan, memfailkan permohonan itu bagi memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan dan notis bertarikh 15 Julai 2015 jabatan berkenaan yang akan mewartakan kawasan bangunan Vivekananda Ashrama, berkeluasan 43,558 kaki persegi sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Syarikat itu juga memohon satu deklarasi bahawa kawasan sekitar bangunan itu tidak didefinisikan sebagai warisan semula jadi atau warisan kebudayaan untuk diwartakan sebagai tapak warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, sebaliknya hanya bangunan Vivekananda Ashrama diwartakan sebagai tapak warisan.

Pemohon juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah mandamus supaya Jabatan Warisan Negara mempertimbangkan cadangan untuk mewartakan hanya bangunan Vivekananda Ashrama sebagai tapak warisan manakala membenarkan hartanah persekitarannya untuk dimajukan.

Syarikat itu turut memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan perintah perlindungan interim jabatan berkenaan dan secara alternatif, jabatan itu membayar ganti rugi kepada syarikat tersebut kerana telah dilucutkan kegunaan hartanahnya.

Selain itu, syarikat itu juga memohon perintah injuksi interim untuk menghalang jabatan berkenaan daripada mengambil sebarang tindakan terhadap syarikat dan tapak bangunan terbabit sehingga permohonan selesai.

Sehubungan itu, mereka memohon ganti rugi RM60,093,920 daripada Jabatan Warisan Negara sebagai pampasan kewangan kerana syarikat itu dinafikan hak asasinya untuk menggunakan hartanah tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS