Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas di Sultanahmet, Istanbul pada Selasa yang mengorbankan

sekurang-kurangnya 10 orang awam selain mengakibatkan kecederaan kepada 15 yang lain.

Kenyataan Kementerian Luar Malaysia hari ini menyebut bahawa menurut Kedutaan Malaysia di Ankara, setakat ini, tiada laporan rakyat Malaysia yang terkorban akibat insiden itu.

"Kedutaan itu turut berhubung rapat dengan rakyat Malaysia, termasuk pelajar kita di Istanbul," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut kerajaan Malaysia merakamkan simpati yang amat mendalam kepada kerajaan dan rakyat Turki selain keluarga serta mangsa yang terjejas akibat serangan itu.

Kementerian itu turut mengingatkan rakyat Malaysia yang tinggal dan melakukan perjalanan ke Istanbul supaya sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan diri dan keselamatan keadaan di sekeliling mereka, di samping sentiasa memantau serta mematuhi sebarang nasihat yang dikeluarkan kerajaan Turki.

Kementerian, menerusi Kedutaan Malaysia di Ankara, akan terus memantau keadaan, menurut kenyataan itu.

Laporan dari Turki menyebut bahawa serangan itu dilakukan oleh seorang warga asing yang merupakan anggota kumpulan militan Daesh yang bertapak kukuh di Syria dan Iraq.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata beliau dukacita dengan insiden pengeboman di Istanbul, Turki yang mengorbankan banyak nyawa.

"Sedih mendengar tentang pembunuhan di Istanbul oleh pengebom nekad Daesh," kata beliau menerusi akaun Twitter dan Facebook.

Menurut laporan, letupan pada Selasa lepas di Sultanahmet Square, yang terletak berhampiran beberapa lokasi tarikan utama pelancong, mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan 15 yang lain.

Najib berkata insiden itu menunjukkan bahawa peperangan menentang ekstremisme perlu sentiasa menjadi keutamaan.

"Satu lagi peringatan tentang pentingnya untuk memerangi ekstremisme di mana jua ia mungkin berada," katanya, mengulas tentang letupan itu..

- Bernama