Khazanah Nasional Bhd merekodkan prestasi kukuh di sebalik persekitaran tidak menentu pada 2015 dengan nilai aset boleh direalisasi meningkat 3.2 peratus kepada RM150.2 bilion daripada RM145.5 bilion pada 2014.

Dalam Ulasan Tahunan Khazanah Ke-12 hari ini, ia berkata portfolio nilai bersih diselaraskan (NWA) menyusut sedikit sebanyak 1.6 peratus kepada RM109.0 bilion pada 2015 daripada RM110.7 bilion setahun lalu, seiring dengan kemerosotan 1.0 peratus FTSE Bursa Malaysia KLCI dan mengatasi enam daripada tujuh indeks pasaran rujukan.

Aliran menaik jangka panjang Khazanah kekal teguh dengan NWA bertumbuh pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 10.7 peratus bagi tempoh Mei 2004 hingga 31 Disember 2015, kata Pengarah Urusannya Tan Sri Azman Mokhtar.

Sementara itu, keuntungan tidak diaudit sebelum cukai syarikat sebanyak RM1.18 bilion berbanding RM3.22 bilion pada 2014.

Ia juga mengumumkan dividen RM1.05 bilion dan cukai dibayar berjumlah RM136 juta.

Secara keseluruhan, Khazanah melakukan 23 pelaburan dengan nilai keseluruhan RM8.7 bilion dan 10 pelupusan pelaburan bernilai RM5.3 bilion tahun lepas dengan perolehan daripada pelupusan pelaburan sebanyak RM2.9 bilion, katanya.

- Bernama