Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan pengasas sebuah syarikat skim cepat kaya ditahan reman dua hari mulai hari ini berhubung siasatan kes tipu melibatkan jumlah hampir RM60,000.

Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili lelaki berusia 35 tahun itu, memberitahu media bahawa Majistret Mohd Azali Ibrahim mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan polis mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan kes tipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Lelaki itu yang turut memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) tiba di mahkamah kira-kira jam 10.30 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Sementara itu, di luar mahkamah menjadi kecoh seketika apabila beberapa mangsa yang turut hadir di mahkamah sambil menjerit, "penipu.. penipu..!" selepas lelaki berkenaan keluar dari mahkamah.

- Bernama