Isu bauksit, pertarungan kuasa antara pusat dan negeri?
Seorang penyelidik dasar alam sekitar, Chung Yi Fan mendakwa bahawa isu perlombongan bauksit di Kuantan merupakan satu pertarungan kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Pahang.
Chung mengambil laporan New Straits Times dalam isu bauksit sebagai contoh, di mana media yang dikawal Umno itu hanya menyebut kerajaan negeri Pahang dalam kebanyakan laporannya.
Katanya, laporan media itu dalam isu bauksit langsung tidak menyentuh kerajaan pusat, seolah-olah menolak segala tanggungjawab ke atas bahu kerajaan negeri Pahang.
Beliau malah mempersoalkan sama ada kerajaan pusat ingin memberi amaran kepada kuasa besar yang telah lama berada di Pahang itu melalui isu bauksit ini.
"Kita kena lihat perkara yang tidak ditulis oleh New Straits Times itu, mereka langsung tidak menyebut kerajaan pusat.
"Keseluruhan laporan mereka seolah-olahnya menolak tanggungjawab kepada kerajaan negeri, kerajaan pusat macam tak perlu bertanggungjawab langsung," tambahnya.
"Inilah pertarungan kuasa, adakah kerajaan pusat ingin memberi amaran kepada kuasa besar yang telah lama berpangkalan di negeri itu," kata Chung dalam forum "Di sebalik Laut Merah: Krisis Bauksit Kuantan" anjuran Dewan Perhimpunan China KL & Selangor semalam.
Sebaliknya, Chung berkata kerajaan pusat perlulah bertanggungjawab kerana ia mempunyai kuasa sebenar untuk menghentikan perlombongan bauksit.
"Agensi-agensi bawah kerajaan pusat mempunyai kuasa, jika agensi-agensi itu tidak membenarkan proses perlombongan bauksit tidak akan lancar sebegitu..." jelasnnya.
Katanya lagi, walaupun perkara berkaitan perlombongan bauksit tertakluk kepada undang-undang negeri, namun lesen export dikeluarkan oleh Kementerian Alam Sekitar.
"Jika kerajaan pusat tidak bersetuju, tiada kapal yang dibenarkan mengangkut bauksit ke luar negara," katanya.
Selain Kementerian Alam Sekitar, katanya, Jabatan Kastam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Pelabuhan Kuantan, Kementerian Kesihatan, JPJ, SPAD dan Kementerian Kerja Raya juga tidak dapat melepaskan tanggungjawab terhadap isu ini.
Pada 6 Januari, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar bersama Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob mengumumkan keputusan kabinet untuk menghentikan sementara aktiviti perlombongan bauksit selama tiga bulan.
Sebelum ini, New Straits Times telah membuat pelbagai laporan mengenai isu bauksit, malah menghantar pasukan siasatan sendiri ke Kuantan untuk mengambil sampel ikan dan kajian makmal menunjukkan badan ikan di perairan Kuantan mengandungi kesan logam seperti arsenik.
Laporan akhbar itu pada 6 Januari turut mempertikaikan cukai eksport yang dikutip oleh kerajaan negeri Pahang tidak bertepatan dengan jumlah bauksit yang dieksport.
Ia turut menyiarkan temu bualnya dengan Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki pada 11 Januari, di mana Azam menyeru kerajaan Pahang membekalkan maklumat berkenaan perlombongan bauksit dalam negeri itu kepada SPRM.
Dalam laporan itu, Azam turut berikrar tidak akan melepaskan 'ikan besar' dalam siasatan terhadap penyelewengan dalam perlombongan bauksit.

