Gerakan mengkritik perjanjian terbaru Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) kerana gagal menjelaskan pendirian mereka mengenai itu hudud.

Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Gerakan, Baljit Singh berkata gabungan itu juga mendakwa mereka mempertahankan perlembagaan persekutuan tetapi tidak menyatakan dengan jelas pendirian mereka mengenai undang-undang berkenaan.

"Mengapa ia begitu sukar untuk menyatakan pendirian mereka," soal beliau sambil mendakwa hudud merupakan faktor utama yang memecahkan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Pakatan Harapan memeterai perjanjian bersama pada 9 Januri lalu dalam menjalinkan kesepakatan mengenai setiap isu dan menegaskan konsep 'bersetuju untuk tidak bersetuju' merupakan perkara yang sudah berlalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata kedua-dua isu hudud dan pilihan raya tempatan akan ditangani dalam rangka kerja dasar bersama gabungan itu pada bulan Jun.

Terdapat "tawaran baru", yang akan dinyatakan kepada rakyat, dan perjanjian itu merupakan perjanjian rasmi di antara ketiga-tiga parti, kata Sim kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Gerakan tidak yakin dan menyifatkan perjanjian tersebut sebagai "gimik" dan hanya satu lagi wayang kulit untuk menipu rakyat.

Baljit berkata sebelum ini Pakatan Rakyat, termasuk PAS, gagal mengisytiharkan pendirian bersama mengenai hudud tetapi berjaya "menipu" rakyat untuk mengundi mereka pada pilihan raya umum 2013.