PKR nasihatkan Najib: Belajar hidup sederhana seperti bapa
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini diingatkan supaya belajar menjalani kehidupan yang sederhana seperti bapanya Allahyarham Abdul Razak Hussein yang juga adalah perdana menteri kedua negara.
"Saya harap perdana menteri akan belajar dan menjejaki beberapa perkara yang sangat baik tentang Tun Razak, iaitu pada asasnya untuk hidup secara sederhana.
"Saya harap dia akan lihat semula sumbangan bapanya kepada negara ini, sama ada dasar luar dan (cara dia) membantu golongan miskin," kata ahli parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.
Beliau mengulas sempena Seminar Khas Memperingati Tun Abdul Razak hari ini.
"Saya fikir negara ini akan jadi lebih baik jika Najib lebih seperti bapanya," kata pemimpin PKR itu sambil menambah seminar memperingati perdana menteri kedua itu sesuatu yang baik.

