Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasukan khas tangani salah guna media sosial mesyuarat minggu depan
Diterbitkan:  Jan 15, 2016 3:21 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Pasukan khas untuk menangani masalah penyalahgunaan media sosial di negara ini akan bermesyuarat minggu depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Beliau berkata pasukan itu, yang dianggotai wakil Pejabat Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia, akan meneliti dan menyediakan langkah-langkah untuk mengatasi masalah itu yang semakin membimbangkang kerajaan.

"Ada sesetengah pengguna media sosial ini menyalahgunakannya dengan menyebarkan kebencian dan ekstremisme agama yang boleh menjejaskan kestabilan negara dan ini amat merisaukan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rangkaian Maklumat dan Komunikasi Komuniti di Taman Tasik Permai di Sibu hari ini.

Mohd Salleh, yang juga pengerusi pasukan itu, berkata perbuatan pengguna media sosial mengkritik kerajaan adalah sebahagian daripada proses demokrasi tetapi ia tidak harus digunakan untuk menimbulkan kebencian di negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian akan melaksanakan pelan pemulihan menara telekomunikasi yang tidak berfungsi di Sarawak bulan ini, dengan pemulihan itu melibatkan beberapa syarikat telekomunikasi.

"Banyak menara komunikasi didirikan di negeri ini tetapi masih belum mempunyai ketersambungan," katanya sambil berkata kementerian akan melihat keperluan membina lebih banyak menara komunikasi di negeri ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Salleh memuji Kumpulan Rimbunan Hijau kerana menyediakan 32 hotspot percuma di bawah projek tanggungjawab sosial korporat di bandar ini untuk kegunaan orang ramai khususnya masyarakat peniaga.

Usaha itu dapat membantu golongan usahawan muda, yang arif dalam penggunaan internet, mengembangkan perniagaan mereka secara talian dan membantu meningkatkan ekonomi setempat, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Rimbunan Hijau, Tan Sri Tiong Hiew King berkata syarikatnya akan mewujudkan lebih daripada 30 kawasan hotspot percuma di Sibu tidak lama lagi.

Menurutnya ia akan dilaksanakan melalui anak syarikat kumpulan itu, Optical Communication Engineering (OCE) dan Howddy Hotspot Sdn Bhd.

"Untuk memaksimumkan rangkaian masyarakat, OCE berusaha meningkatkan kandungan penghantaran rangkaian bagi memastikan pengguna dapat menerima kandungan dengan lebih efisien,"kata beliau.

Berikutan kesukaran menggunakan fiber optik di Sibu, OCE turut menimbang penggunaan jalur lebar 4G yang pantas pada masa akan datang bagi mengatasi kekurangan jalur lebar 3G dan masalah kesesakan dalam talian terutama pada masa puncak.

Mereka yang mahu mengguna hotspot itu boleh memuat turun aplikasi Howddy Mobile dan UCStream dari Google Play Store.

- Bernama

Lihat Komen
ADS