JCORP: Dana Johor ditamatkan 16 Februari depan
Dana Johor (DJ) akan ditamatkan pada 16 Februari depan selepas Mesyuarat Tertangguh Pemegang-Pemegang Unit DJ memutuskan resolusi penamatan dana itu dipersetujui dengan undian majoriti sebanyak 95.45 peratus.
Johor Corporation (JCorp) dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebelum dana itu ditamatkan, JCorp selaku penaja kepada Skim Penambahbaikan DJ RM1 seunit (SDJ1), memberi peluang kepada pemegang unit yang mempunyai kelayakan di bawah SDJ1 peringkat keempat (SDJ1-P4) untuk menebus kelayakan mereka bermula 14 Januari hingga 15 Februari depan.
"Mesyuarat Tertangguh Pemegang-Pemegang Unit DJ berlangsung semalam (14 Januari), di sini (Johor Bahru), untuk mendapatkan kelulusan pemegang unit bagi resolusi penamatan DJ yang memerlukan kelulusan majoriti sekurang-kurangnya 3/4 daripada jumlah unit yang dipegang oleh pemegang unit yang mengundi dalam mesyuarat tersebut," kata perbadanan itu.
Menurut Jcorp, Pelaburan Johor Berhad (PJB) selaku Pengurus DJ sebelum ini telah mengadakan mesyuarat yang sama pada 22 Disember lepas, namun, mesyuarat tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan ketiadaan korum.
Sebagaimana peruntukan Garis Panduan Dana Unit Amanah dan Surat Ikatan DJ, mesyuarat kali ini berjaya dilaksanakan dengan kehadiran seramai 210 pemegang unit yang hadir atau melalui proksi dengan pegangan unit sebanyak 662,025 unit mengundi.
Menurut Jcorp, pada atau selepas 16 Februari depan, segala aset DJ, setelah ditolak kos-kos yang dibenarkan, akan diserahkan kepada Pemegang Amanah yang diberi kuasa iaitu AmanahRaya Trustess Berhad (ART).
"Bagi pemegang unit yang tiada kelayakan SDJ1-P4 dan masih memegang unit DJ, mereka diminta supaya menjual balik unit pegangan mereka kepada PJB dalam tempoh sebulan ini, pada nilai aset bersih semasa DJ.
"Setelah penamatan nanti, pihak ART akan mengambil tindakan untuk menjual segala aset DJ dan setelah ditolak kos-kos yang dibenarkan, akan mengagihkan bakinya kepada pemegang unit yang berdaftar," kata Jcorp.
Untuk keterangan lanjut, pemegang unit boleh menghubungi PJB di talian 07-2230350 dan faks di talian 07-2245251.
- Bernama

