Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kawasan sibuk di bandar raya seperti Bukit Bintang, Bangsar dan Sri Hartamas dikenal pasti sebagai antara lokasi tumpuan pengganas kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Secara lebih khusus, beliau memberikan contoh pusat tumpuan ramai seperti pusat membeli belah di kawasan berkenaan - The Curve Damansara, Publika dan Solaris Dutamas serta Menara Kuala Lumpur berpotensi menjadi sasaran pengganas Daesh.

“Kita telah kenal pasti 'kawasan panas' IS di Kuala Lumpur iaitu Bukit Bintang, Bangsar, Sri Hartamas , The Curve , Publika, Solaris , Menara KL dan juga pusat tumpuan pelancong,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen kibar bendera Wilayah Persekutuan di Putrajaya pagi tadi.

Jelasnya, pihak berkuasa kini sedang giat meningkatkan kawalan di pusat-pusat tumpuan pengganas dan dalam masa yang sama menambah jumlah anggota keselamatan bertugas.

Malah katanya, tempat yang akan dikawal tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur sebaliknya Putrajaya dan juga Labuan akan turut diberikan perhatian.

“Kepada semua agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan untuk bersiap siaga dan berhati-hati dan memperbanyakkan kawalan di tempat (tumpuan ramai) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Kita akan tambah anggota keselamatan. Kalau perlu pertambahan anggota kita akan bincang dengan kementerian pertahanan dan minta tentera bersama dengan kita kalau perlu,” katanya.

Justeru Tengku Adnan turut mengingatkan rakyat di negara ini supaya membuat laporan polis sekiranya terlihat individu yang mencurigakan.

“Kita rayu orang ramai kalau ternampak orang mencurigakan segera buat laporan kepada pihak berkuasa yang berdekatan dengan mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS