Polis Thailand melancarkan serbuan di kawasan Min Buri yang mempunyai banyak penduduk Islam di Bangkok sebagai sebahagian daripada langkah meningkatkan keselamatan berikutan serangan pengganas di Jakarta, Indonesia, dua hari lepas.

Ketika mengesahkan serbuan yang dilancarkan semalam, Ketua Polis Metropolitan Kawasan Tiga Mej Jen Chaiyaporn Panich-Attra berkata operasi bersama polis dan tentera itu diketuai beliau sendiri.

"Saya mengetuai pasukan itu (ke kawasan berkenaan) berikutan kejadian letupan di Jakarta dan pengeboman di Ratchaprasong pada pertengahan Ogos lepas.

"Kami akan terus mengadakan operasi keselamatan," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut pegawai itu, pasukannya melakukan pemeriksaan di pangsapuri yang disyaki disewa suspek di kawasan itu, tetapi tidak menjumpai sebarang "objek menyalahi undang-undang".

Chaiyaporn berkata sasaran serbuan semalam ialah individu mencurigakan yang tinggal di kawasan itu, tetapi beliau tidak memberi penjelasan lnjut kerana ia dianggap sensitif.

Orang Islam bukan sasaran

Chaiyaporn bagaimanapun meredakan kebimbangan yang mungkin dirasai masyarakat Islam di Min Buri apabila berkata pasukan keselamatan Thailand tidak menjadikan golongan itu sebagai sasaran operasi.

"Kami tidak menjadikan orang Islam sebagai sasaran kami kerana mereka orang baik," katanya.

Pasukan keselamatan Thailand, termasuk polis dan tentera, meningkatkan pengawasan di kawasan strategik di sekitar bandar raya Bangkok dan di kawasan bersempadan dengan negara jiran berikutan serangan di Jakarta.

Serangan yang didakwa mempunyai kaitan dengan sekutu kumpulan militan Daesh itu, meragut tujuh nyawa, termasuk dua orang awam iaitu seorang rakyat Indonesia dan seorang warga Kanada.

Ogos lepas, Thailand mengalami serangan bom paling dahsyat dalam sejarahnya apabila sebutir bom diletupkan di Kuil Erawan, yang terletak di persimpangan Rachaprasong yang terkenal kerana kesibukannya dan menyebabkan 20 orang maut, termasuk lima rakyat Malaysia.

Berikutan kejadian itu, Thailand melancarkan operasi besar-besaran, termasuk di Min Buri, dan menahan dua suspek utama.

- Bernama