Brent jatuh di bawah AS$28 setong
GLOBAL l Minyak mentah Brent didagangkan di bawah paras AS$28 setong dengan harga terus menjunam berikutan sekatan antarabangsa ke atas Iran ditarik balik.
Ini membuka jalan kepada peningkatan eksport dari Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) di sebalik lebihan bekalan dunia.
Dagangan hadapan susut sebanyak 4.4 peratus di London. Ia terjerumus ke tahap paling rendah sejak November 2003.
Iran mula berusaha untuk meningkatkan pengeluaran dan eksport sebanyak 500,000 tong sehari selepas sekatan ke atasnya ditarik balik, kata timbalan menteri minyaknya, Amir Hossein Zamaninia, semalam.
Menurut Menteri Minyak Arab Saudi, Ali al-Naimi, harga menyak akan naik dan bahawa kuasa pasaran serta kerjasama di kalangan negara-negara pengeluar akhirnya akan membawa kepada kestabilan.
"Terdapat tekanan negatif yang berterusan ke atas harga minyak kerana lebihan bekalan," kata Ric Spooner, ketua penganalisis di CMC Markets di Sydney.
"Iran bukanlah sesuatu yang baru, tetapi kami sekarang berada pada titik di mana sekatan telah ditarik-balik dan ia akan menjadi fokus utama pasaran pada minggu akan datang. Persoalannya ialah berapa banyak bekalan akan dihasilkan dalam jangka pendek," katanya.
- Bloomberg

