Umno: Harapan gagal kecuali sekutu tunduk pada DAP
Kekuatan gabungan pembangkang yang baru Pakatan Harapan bergantung kepada sejauh mana PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) bersedia untuk akur terhadap kehendak DAP, dakwa seorang pemimpin Umno.
Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap dilaporkan berkata meskipun kerjasama Pakatan Harapan dirasmikan melalui perjanjian tujuh perkara, sejarah telah membuktikan bagaimana dua kerjasama pembangkang masa lalu - sebagai Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat - telah gagal.
Anuar mendakwa kegagalan itu adalah akibat desakan DAP menolak agenda PKR dan PAS yang dipinggirkan dalam Pakatan Harapan.
“Sebab itu kata kunci kepada kekuatan pakatan baru mereka ini adalah perlu akur kepada DAP dan bukannya berdasarkan kepada tujuh ikatan yang terkandung di dalam perjanjian yang ditandatangani bersama itu.
“AMANAH dan PKR dilihat sekadar berkongsi perjanjian terbabit dan sekadar pelengkap kepada perjanjian berkenaan.
“Tidak lebih daripada itu kerana DAP boleh dikatakan mempunyai kata pemutus yang tersendiri,” katanya yang dipetik oleh portal Umno Online .
Menurutnya, Pakatan Harapan akan menerima nasib yang sama seperti pakatan pembangkang sebelum in.
Pakatan Harapan ditubuhkan pada 22 September tahun lalu selepas PKR, DAP dan PAS secara rasmi membubarkan kerjasama enam tahun politik mereka di bawah Pakatan Rakyat.
Pada 9 Januari lalu, Pakatan harapan menandatangani perjanjian tujuh perkara dean mengumumkan bahawa mana-mana pihak yang menentang kesepakatan yang dipersetujui boleh disingkirkan dari gabungan itu.
Perjanjian itu, bagaimanapun, tidak menjelaskan pendirian mereka mengenai hudud, isu dikaitkan sebagai faktor yang menyebabkan Pakatan rakyat terkubur berikutan perselisihan yang berpanjangan antara PAS dan DAP.
Mengulas lanjut, Anuar mendakwa keengganan PAS untuk berkompromi dengan DAP yang membawa Pakatan Rakyat terkubur.
“Itulah natijahnya jika mencari pasal dengan DAP. Alasan yang diutarakan kepada krisis yang berlaku adalah alasan semata-mata.
“Macam-macam boleh buat. Tetapi dengan perkembangan terbaru ini kita boleh tengok apa pula rentak DAP dalam pakatan baru itu.
“Rasa-rasanya sukar untuk berubah dan kesimpulannya kelak AMANAH dan PKR tidak boleh sesuka hati untuk melangkau sekutunya itu. Pakatan Harapan akan selamat jika PKR dan AMANAH setia menjadi pak turut”, katanya.
PAS telah mengisytiharkan bahawa kedua-dua DAP dan AMANAH sebagai musuh tetapi memilih memelihara hubungannya dengan PKR.

