PM pandang serius pengganas 'keagamaan melampau'
Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan bermesyuarat esok bagi membincangkan langkah-langkah keselamatan yang diambil serta perkembangan terkini, termasuk kejadian keganasan di Jakarta minggu lepas.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan akan mempengerusikan majlis itu esok, tanpa menyatakan tempat dan masa ia akan diadakan.
“MKN yang dipengerusikan oleh saya memandang dengan amat serius ancaman daripada pengganas yang bersifat keagamaan melampau,” kata Najib.
“Kita telah pun bersetuju untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi menghalang dan mematahkan sebarang usaha pengganas untuk mengganggu gugat keamanan dan keharmonian di negara ini.”
Dalam blognya hari ini, Najib juga berkata kerajaan telah mengarahkan agensi-agensi keselamatan negara mempertingkatkan usaha menangani kemungkinan ancaman keganasan.
Langkah itu diambil susulan serangan pengganas di berapa bandar besar dunia.
Najib juga berkata keputusan memperkenalkan Akta MKN 2015 akan membolehkan kerajaan bertindak lebih berkesan menangani keganasan dalam negara.
Beliau juga menyeru orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mencetus kebimbangan umum mengenai tahap sebenar keselamatan negara.
Rang Undang-Undang (RUU) MKN 2015 diluluskan Dewan Negara pada 23 Disember lalu tanpa sebarang pindaan.
Undang-undang itu sebelum ini dikritik kerana memberi kuasa tidak terbatas kepada perdana menteri dalam isu membabitkan kawasan keselamatan.

