Kerajaan lulus penerbitan lidah rasmi Parti Komunis China di M'sia
Parti Komunis China akan menerbitkan versi lidah rasmi seberang lautnya - People's Daily - di Malaysia bulan depan, selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan Malaysia untuk menerbit dan mencetaknya di negara ini.
Parti Komunis China akan menerbitkan versi lidah rasmi seberang lautnya - People's Daily - di Malaysia bulan depan, selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan Malaysia untuk menerbit dan mencetaknya di negara ini.
Pada masa ini, akhbar tersebut diterbitkan di kira-kira 80 negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Hong Kong, Australia, Perancis dan Jepun.
Semalam, akhbar berbahasa Cina tempatan,
Oriental Daily News
, memetik Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Donald Lim sebagai berkata Kementerian Penerangan dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri akan mengawasi isu kandungan akhbar tersebut.
Versi seberang laut People's Daily - yang dianggap lidah rasmi parti berkenaan - diterbitkan dalam bahasa Cina sejak tahun 1985, pada setiap hari kecuali hari Ahad.
"Dasar editorial versi seberang lautnya ialah ia perlu selari dengan sifat dan dasar-dasar parti itu. Tetapi pada masa yang sama, ia mesti mengambil kira penerimaan dan tabiat membaca di kalangan pembaca di seberang laut," kata versi internet akhbar tersebut.
Setiausaha Agung Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Tan Kai Hee berkata versi percubaan akhbar People's Daily di Malaysia diterbitkan sejak 1 Januari.
Katanya, kandungan harian tersebut, walaupun diterbit dan dicetak di Malaysia, akan mengikut isu kandungan versi seberang laut yang disiarkan di negara-negara lain.
"Mungkin isu-isu tempatan tertentu akan dipadankan untuk disiarkan juga. Ini seperti akhbar kita di sini, yang mempunyai sisipan-sisipan yang memfokuskan kepada isu-isu tempatan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Fokus terhadap budaya, bukan ideologi
Beliau bagaimanapun menolak dakwaan bahawa akhbar tersebut akan mempromosi fahaman komunisme.
"Akhbar ini akan mempromosi ekonomi dan kebudayaan China, tetapi bukannya untuk mempromosi ideologi (komunis). Kerana itulah ianya diterima di seluruh dunia," tambahnya.
Katanya, persoalan mengenai ideologi itu tidak seharusnya dijadikan satu isu kerana rakyat negara China dan rakyat Malaysia kedua-dua percaya bahawa tiada mana-mana pihak yang akan mempengaruhi satu sama lain.
"Saya percaya rakyat Malaysia cukup matang untuk menerima idea yang berbeza. Dalam era globalisasi ini, isu ideologi tidak seharusnya menjadi isu lagi," katanya.
Tan berkata, keputusan kerajaan untuk membenarkan penerbitan tersebut, mencerminkan dasar terbukanya terhadap budaya China.
"Ini menunjukkan pihak kerajaan tidak melihat China sebagai satu ancaman, tetapi sebagai kawan dan rakan kongsi yang baik," tegasnya.
"Usahawan dan pelabur Malaysia yang mempunyai perniagaan di China, usahawan dan pelajar yang kini tinggal di Malaysia dan pelbagai badan kebudayaan China, mahu membaca versi People's Daily di Malaysia," katanya.
Tiada maklumat lanjut
Ketika dihubungi, seorang kakitangan di pejabat People's Daily di Kuala Lumpur enggan memberi maklumat lanjut mengenai penerbitan akhbar tersebut.
Bagaimanapun, satu sumber berkata, akhbar itu dijangka diterbitkan dalam bentuk tabloid dengan lapan hingga 10 halaman.
Mengikut Akta Penerbitan dan Mesen Cetak 1984, semua penerbit dimestikan mendapat permit penerbitan setiap tahun. Menteri Keselamatan Dalam Negeri mempunyai kuasa mutlak untuk melulus, menolak atau membatalkan permit tersebut.
Contohnya, malaysiakini telah mengemukakan permohonan pada September 2002 untuk mendapatkan permit untuk menerbitkan akhbar mingguan.
Dalam jawapannya Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membayangkan kerajaan mungkin tidak akan meluluskan permohonan malaysiakini itu, kerana bimbangnya ianya boleh memudaratkan keselamatan negara.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Chia Kwang Chye tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya mengenai perkara tersebut.

