Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja termasuk orang kenamaan yang menyebar maklumat tidak sahih mengenai ancaman pengganas di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perbuatan seperti itu boleh menimbulkan kegelisahan serta ketakutan di khalayak orang ramai.

"Saya beri amaran pada semua pihak supaya tidak berkongsi mana-mana berita yang tidak sahih mengenai ancaman pengganas di media sosial. Ini termasuklah memetik sumber kerana ia serupa menyebarkan khabar angin," katanya dalam sidang media di Bukit Aman Kuala Lumpur hari ini.

Khalid berkata mereka yang ingin kepastian dan pengesahan terhadap sesuatu perkara perlu merujuk kepada laporan yang sahih.

-Bernama