Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh membidas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang memberi alasan pihak berkuasa negeri tidak dapat menahan pelombong haram kerana mereka akan "melarikan diri" semasa serbuan.

Beliau sebaliknya mencadangkan kerajaan negeri memberhentikan perlombongan bauksit selama-lamanya jika tidak mampu menangkap pelombong haram.

"Seluruh Pejabat Tanah dan Galian negeri tidak dapat mengawal (perlombongan bauksit haram) dan terlibat dalam skandal rasuah yang serius.

"Ini adalah petunjuk jelas bahawa kita tidak boleh membenarkan perlombongan diteruskan selepas moratorium tamat.

"Kerajaan negeri Pahang gagal mengawal industri perlombongan sebelum dan tidak akan dapat berbuat demikian selepas ini," katanya kepada Malaysiakini.

Satu moratorium tiga bulan dikuatkuasakan ke atas aktiviti bauksit yang dirundingkan oleh kerajaan persekutuan dikuatkuasakan sejak 16 Januari lalu berikut pencemaran meluas akibat perlombongan yang tidak terkawal itu.

Kerja-kerja pembersihan besar-besaran kemudiannya bermula dan pengeksport diarahkan untuk menempatkan semula stok simpanan bauksit jauh daripada sumber laut dan air yang telah tercemar.

Dalam temu bual dengan akhbar New Straits Times yang diterbitkan hari ini, Adnan berkata, beliau tidak mempunyai jawapan pasti tentang berurusan dengan pelombong haram.

"Apabila NST soal saya, apa yang saya akan lakukan dengan pelombong haram, saya tidak mempunyai jawapan pasti kerana berdasarkan undang-undang dan amalan semasa, jika perlombongan haram dilakukan di atas tanah persendirian, maka kita boleh mengambil tindakan mengikut Kanun Tanah Negara 1965.

"Jika perlombongan haram dilakukan di atas tanah kerajaan, kita boleh serbu kawasan itu, tetapi hampir setiap kali apabila kita menyerbunya, mereka akan melarikan diri. Apa yang kita boleh buat adalah merampas jentera mereka," katanya.

[Baca berita penuh]