1MDB mengulangi bahawa kos penempatan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) kepada kerajaan Malaysia adalah pada dan kekal RM2.7 bilion.

"Ia menjadi pengetahuan umum, sejak 2012, bahawa pembayaran kepada 1MDB adalah dalam bentuk tanah (RM1.6 bilion) dan pembayaran tunai (RM1.1 bilion)," demikian menurut satu kenyataan 1MDB semalam.

Ia adalah bagi mengulas dakwaan yang dikeluarkan oleh anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli baru-baru ini.

Menurut 1MDB juga, persoalan mengenai keselamatan negara terjejas juga tidak timbul memandangkan kontraktor siap guna dan sub kontraktor adalah sama.

Syarikat pembangunan strategik itu juga memberi jaminan kedudukan Perbadanan Perwira Hartanah Malaysia, anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera, sebagai satu-satunya kontraktor siap guna untuk melaksanakan sesetengah kerja-kerja pembinaan.

PPHM dan lebih 50 sub kontraktor bumiputera yang dilantik, akan kekal sebagai satu-satu kontraktor utama dan sub kontraktor walau apa juga akhirnya pemilikan ekuiti Bandar Malaysia, menurutnya.

Mengenai sukuk Bandar Malaysia, menurut 1MDB, jumlah tunai yang diperoleh daripada sukuk adalah RM1.5 bilion, bukan RM2.4 bilion seperti yang didakwa Rafizi.

Penggunaan hasil itu adalah mengikut terma dan syarat terbitan sukuk serta tiada kemungkiran yang berlaku di bawah dokumen sukuk berkenaan dengan 1MDB melaksanakan Perjanjian Jualan Saham dengan Konsortium IWH-CREC.

- Bernama